
KUALA LUMPUR - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kekal dengan pendirian tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.
Justeru, baginda menegaskan agar isu penternakan babi ini dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya (full stop) demi mengelakkan keresahan masyarakat serta memastikan keamanan dan keharmonian rakyat di Negeri Selangor terus terpelihara.
Pendirian berkenaan sebelum ini ditegaskan pada 10 Februari lalu.
“Pendirian tersebut dibuat setelah mengambil kira implikasi penternakan babi yang boleh menyebabkan pencemaran pada tanah, udara dan risiko pencemaran sumber air sungai melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan babi,’’ titah baginda menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Selain itu, baginda turut menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti berkenaan boleh menjejaskan kawasan tadahan air serta sungai-sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada penduduk kira-kira 9 juta penduduk di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Kaedah penternakan moden yang mematuhi piawaian memerlukan kos yang amat tinggi dan tidak praktikal serta tidak mungkin dapat dilaksanakan hanya bagi memenuhi bekalan daging babi di Negeri Selangor sahaja,’’ titah baginda.
Justeru, baginda mencadangkan agar daging babi diimport dari negeri lain seperti Sarawak bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam yang makan babi di Negeri Selangor.
Bahkan negara seperti Singapura, titah Sultan Selangor, juga tidak menternak babi dan mengimport daging babi dari luar.
Sultan Selangor juga berpandangan bahawa penternakan babi berskala besar mahupun kecil adalah tidak sesuai dilaksanakan di Negeri Selangor memandangkan sumber tanah yang terhad serta nilai hartanah yang tinggi.
Ia sewajarnya dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan yang lebih ekonomik dan memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh. - 7 Mei, 2026
The post Sultan Selangor kekal pendirian tidak berkenan penternakan babi, titah isu itu dimuktamadkan appeared first on Scoop.





