Sultan Selangor Lancar Buku Koleksi Titah Ucapan Sempena Jubli Perak Pemerintahan

22 Oct 2026 • 11:52 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Sultan Selangor Lancar Buku Koleksi Titah Ucapan Sempena Jubli Perak Pemerintahan

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyempurnakan pelancaran Buku Koleksi Terpilih Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor Berkaitan Hal Ehwal Islam Selangor sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Baginda.

Buku berkenaan menghimpunkan titah ucapan terpilih Sultan Selangor dari 2001 hingga 2026 sebagai dokumentasi penting berkaitan hal ehwal Islam sepanjang tempoh pemerintahan Baginda.

Menurut Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), penerbitan itu merupakan inisiatif untuk memelihara titah ucapan Baginda sebagai khazanah ilmu dan sumber rujukan kepada generasi masa kini serta akan datang.

Jelasnya, penerbitan tersebut diharap dapat memperluas pengetahuan dan meningkatkan penghayatan masyarakat terhadap keprihatinan Sultan Selangor dalam memelihara kesucian agama Islam serta memperkukuh kedudukannya di negeri itu.

Usaha berkenaan turut mencerminkan komitmen Baginda selaku Ketua Agama Islam Negeri Selangor dalam memelihara kesucian akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, memperkasa institusi masjid, memartabatkan pendidikan Islam serta memperkukuh pengurusan zakat dan wakaf.

Selain itu, buku berkenaan diharapkan dapat menjadi rujukan kepada institusi pendidikan, penyelidik, ahli akademik dan masyarakat umum dalam memahami perkembangan pentadbiran hal ehwal Islam di Selangor.

Orang ramai boleh mendapatkan buku koleksi terpilih itu menerusi laman web rasmi MAIS di www.mais.gov.my.

Pelancaran berkenaan berlangsung pada Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk Raja Berdaulat Memayungi Umat anjuran MAIS dengan kerjasama Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

MAIS berkata demikian pada Forum Perdana Ehwal Islam Sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan 25 Tahun DYMM Sultan Selangor anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di Shah Alam, malam ini.

Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Forum itu menampilkan dua ahli panel, iaitu Mufti Selangor, YAD Dato’ Setia Dr. Haji Anhar Haji Opir dan Anggota Jawatankuasa Fatwa dan Khutbah Negeri Selangor, Prof. Madya Dato’ Dr. Muhammad Ayman Al-Akiti. Sesi berkenaan dikendalikan oleh Ustaz Rizal Ramli, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Selangor.

Image from: Sultan Selangor Lancar Buku Koleksi Titah Ucapan Sempena Jubli Perak Pemerintahan
DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melancarkan Buku Koleksi Terpilih Titah Ucapan Berkaitan Hal Ehwal Islam sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Baginda di Shah Alam, malam ini. FOTO: Haziq Hakimi/ SK

MAIS berharap penganjuran forum dan penerbitan buku tersebut dapat memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap kedudukan serta peranan institusi diraja, selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memelihara kedaulatannya dalam memartabatkan agama Islam serta menjamin keharmonian dan kesejahteraan rakyat di Selangor.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved