Sultan Selangor pesan pemimpin politik jangan bergaduh, rebut kuasa

LocalPolitics
2 Oct 2026 • 9:09 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Sultan Selangor pesan pemimpin politik jangan bergaduh, rebut kuasa

SHAH ALAM, 2 OKT: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengingatkan pemimpin politik supaya tidak bergaduh, bertelagah atau berebut kuasa sehingga mencetuskan perpecahan.

Sebaliknya, Baginda mahu pemimpin memberi tumpuan kepada pembangunan negeri, kesejahteraan rakyat serta kebajikan golongan yang memerlukan pembelaan.

“Perbezaan pendirian dan fahaman politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama demi kepentingan negeri dan rakyat.

“Tanggungjawab kepimpinan hendaklah dilaksanakan dengan penuh amanah, dengan mendahulukan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi mahupun kelompok politik,” titah Baginda menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Pesanan itu disampaikan ketika baginda bersantap bersama mantan Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo dan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali serta Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pertemuan berlangsung selepas Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Baginda turut mengingatkan bahawa kemajuan Selangor perlu disertai keharmonian masyarakat dan kestabilan pentadbiran.

Justeru, Sultan Sharafuddin mahu pemimpin memelihara sikap saling menghormati serta mengutamakan perbincangan yang membina dalam menangani sebarang perbezaan.

Terdahulu, Baginda berkenan berangkat ke majlis berkenaan sebelum menunaikan solat Jumaat bersama rakyat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved