Sultan Selangor tegas tiada kompromi mutu kebersihan

LocalEnvironment
12 Oct 2026 • 2:51 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sultan Selangor tegas tiada kompromi mutu kebersihan

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah tiada kompromi terhadap prestasi dan kualiti perkhidmatan pengurusan sisa dan pembersihan awam di negeri ini selepas pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Baginda bertitah, ketepatan masa dan frekuensi kutipan sampah perlu dikekalkan tanpa sebarang kemerosotan selepas perjanjian berkaitan pelaksanaan akta itu dimeterai.

Titah baginda, perkara itu penting memandangkan jumlah penduduk Selangor yang besar bergantung kepada perkhidmatan berkenaan di seluruh negeri ini.

“Selepas perjanjian ini ditandatangani, tidak ada sebarang kompromi serta kemerosotan dari segi prestasi dan kualiti perkhidmatan pengurusan sisa dan pembersihan awam, termasuk dari segi ketepatan masa dan frekuensi kutipan,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Sultan Sharafuddin turut menegaskan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu memastikan tahap pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam berada pada paras yang setara atau lebih baik daripada pelaksanaan sedia ada di Negeri Selangor usai pemakaian Akta 672 ini.

Baginda turut berharap agar perancangan waste-to-energy (WTE) di Selangor dapat diteruskan dan disegerakan melalui pemudahcaraan bersesuaian oleh Kerajaan Persekutuan dalam tempoh terdekat.

“Beta percaya bahawa dengan muafakat serta persefahaman semua pihak yang berkepentingan, penyelesaian yang dipersetujui bersama demi kepentingan rakyat ini akan dapat dicapai dengan jayanya demi Selangor yang lebih maju.

“Sehubungan itu, beta amat berharap agar perjanjian tiga pihak antara KPKT, Kerajaan Negeri Selangor dan PBT Selangor dapat dicapai segera demi kepentingan semua pihak, supaya rakyat dapat menikmati Selangor yang lebih bersih hasil daripada manfaat tersebut, ” titahnya.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan menerima menghadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada 8 Oktober lalu bagi mendapatkan perkembangan pelaksanaan Akta 672 di Selangor.

Baginda turut menerima menghadap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersama-sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin pada 10 Oktober lalu bagi tujuan sama.

Kedua-dua pertemuan itu merupakan susulan lawatan baginda ke loji WTE Amager Bakke (CopenHill) di Copenhagen, Denmark, baru-baru ini.

Menerusi pertemuan tersebut, baginda dimaklumkan bahawa Selangor sedang membuat persiapan untuk menjadi negeri kelapa yang menerima pakai Akta 672 susulan pengumuman terbaharu KPKT.

Dalam sesi sembah menghadap tersebut, Kor Ming telah memaklumkan bahawa usaha menyeluruh di peringkat PBT telah selesai dan semua pihak berkepentingan amat komited untuk memuktamadkan proses pelaksanaan akta berkenaan.

Kor Ming juga memaklumkan selepas perjanjian tiga pihak pihak dimeterai, pelantikan pihak berkepentingan berkaitan akan dilaksanakan bagi membolehkan Selangor menikmati piawaian perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang lebih tinggi.

Ini bakal disokong dengan pembiayaan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan melalui KPKT.

Pengaturan yang serupa telah dilaksanakan sejak tahun 2011 di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Pahang, Kedah serta Perlis. – KOSMO! ONLINE

The post Sultan Selangor tegas tiada kompromi mutu kebersihan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved