amree26/05/2026 - 17:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Mei – Saliran Group Berhad mencatatkan kenaikan ketara keuntungan selepas cukai (PAT) 87.84% suku ke suku (QoQ) kepada RM2.78 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2026.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pembekal dan pengedar paip, kelengkapan, serta produk keluli itu berkata, prestasi ini mencerminkan pemulihan operasi meskipun berdepan pasaran kompetitif.
Kumpulan berkenaan merekodkan pendapatan sebanyak RM113.36 juta, peningkatan kira-kira 19.33% berbanding hanya RM95 juta yang pernah dicatatkan dalam tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.
"PAT turut bertambah daripada RM2.64 juta pada 1QFY25, didorong oleh faktor pertumbuhan kukuh segmen bekalan dan pengedaran yang terus menjadi penyumbang utama kepada prestasi," kata Saliran.
Segmen tersebut ujar kumpulan berkenaan berjaya menjana hasil sebanyak RM111.87 juta, manakala segmen pembuatan pula menyumbang kira-kira RM1.49 juta sepanjang tempoh tiga bulan berkenaan.
Tambah kumpulan tersebut, berdasarkan perbandingan QoQ, hasil berkurangan daripada RM139.14 juta dicatatkan pada 4QFY25 berikutan penyiapan beberapa projek pelanggan pada suku sebelumnya.
Keuntungan Saliran namun meningkat selepas suku terdahulu terjejas oleh kos pembiayaan tinggi, kerugian rosot nilai penghutang perdagangan serta kerugian rosot nilai ke atas pelaburan lain.
"Permintaan domestik terus menjadi pemacu utama perniagaan apabila menyumbang 98.77% daripada jumlah hasil, manakala selebihnya datang daripada pasaran rantau Asia Tenggara," jelasnya.
Pengerusi Eksekutifnya, Liaw Choon Wei berkata, pertumbuhan hasil tahun ke tahun (YoY) berikutan strategi pemerolehan pelanggan yang berjaya memperluaskan data dan mengukuhkan kehadiran pasaran.
Walaupun pelarasan harga diperlukan untuk mendapatkan pelanggan dalam persekitaran kompetitif, Saliran adalah kekal memberi tumpuan kepada kawalan kos berdisiplin, dan kecekapan operasi.
Beliau berkata, kumpulan tersebit akan terus mengukuhkan kedudukan dalam pasaran domestik sambil meneroka peluang pertumbuhan secara terpilih di peringkat serantau dengan lebih agresif.
"Bagi prospek masa depan, kami kekal berhati-hati terhadap cabaran seperti harga keluli global, ketidaktentuan geopolitik, risiko dasar perdagangan dan pertukaran mata wang asing," jelasnya.
Situasi itu boleh memberi kesan kepada rantaian bekalan serta struktur kos, namun kumpulan optimis terhadap prospek jangka sederhana disokong kedudukan kukuh dalam industri minyak dan gas (O&G).
Selain itu pelaksanaan strategi pertumbuhan termasuk pengembangan ke Indonesia, penambahan armada penghantaran serta pembangunan lanjut produk jenamanya turut membantu. - DagangNews.com






