Paragon Globe kaut untung bersih RM69.4 juta bagi FY26 disokong pengurusan kos lebih berkesan

LocalBusiness & Finance
26 May 2026 • 5:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Paragon Globe kaut untung bersih RM69.4 juta bagi FY26 disokong pengurusan kos lebih berkesan Image from: Paragon Globe kaut untung bersih RM69.4 juta bagi FY26 disokong pengurusan kos lebih berkesan amree26/05/2026 - 17:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 MeiParagon Globe Berhad mencatat keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATAMI) sebanyak RM69.44 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY26).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut namun merekodkan pendapatan sebanyak RM154.85 juta berbanding RM306.26 juta pada FY25 berikutan pengiktirafan jualan tanah berskala besar.


Bagaimanapun, margin keuntungan kasar syarikat berkenaan adalah kekal kukuh pada kira-kira 49.6% berbanding sebanyak 50.7% dicatatkan sebelum ini, mencerminkan pengurusan kos yang lebih berkesan.


"Kumpulan ini berupaya mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi tahun kewangan tersebut yang berjumlah RM88.70 juta, manakala PATAMI dicatatkan pada RM69.44 juta," jelas Paragon Globe.


Prestasi sepanjang suku keempat FY26 pula kata syarikat tersebut menunjukkan berlaku peningkatan secara ketara apabila PBT melonjak kira-kira 187.1% suku ke suku (QoQ) kepada RM35.94 juta.


Peningkatan yang amat positif berkenaan jelasnya, didorong segmen pelaburan yang berjaya beralih daripada kerugian sebelum cukai (LBT) pada FY25 kepada keuntungan kasar RM28.13 juta dalam FY26.


Pengerusi Eksekutif Paragon Globe, Datuk Seri Edwin Tan Pei Seng berkata, FY25 merupakan tahun luar biasa hasil pelupusan tanah bernilai RM337.3 juta kepada Bridge Data Centres Malaysia.


"Sementara FY26 pula memberi fokus kepada pembinaan asas pertumbuhan baharu kumpulan, dengan bank tanah kami semakin besar, dengan aset hartanah pelaburan terus berkembang lebih pesat," katanya.


Dari segi kedudukan kewangan tambah beliau, jumlah aset kumpulan tersebut berkembang 45.9% kepada RM1.14 bilion, manakala nilai hartanah pelaburan meningkat kira-kira 67.9% kepada RM365.38 juta.


Inventori Paragon Globe turut bertambah kepada RM663.12 juta, dan bakal menjadi pemacu penjanaan hasil mulai FY27, sementera nilai aset bersih (NA) sesaham turut meningkat kepada 63 sen.


Hasil tunai kasar mencecah RM98.98 juta daripada pelupusan tanah yang selesai pada Januari 2026 dan digunakan sepenuhnya bagi kos pembangunan projek, serta perbelanjaan modal kerja. - DagangNews.com

Terkini standard