Sumbangan RM19.5 juta kepada Bersatu luar kebiasaan - Saksi

LocalPolitics
28 Apr 2026 • 2:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sumbangan RM19.5 juta kepada Bersatu luar kebiasaan - Saksi
Muhyiddin

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa diberitahu bahawa aliran masuk dana berjumlah RM19.5 juta ke akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) daripada sebuah syarikat pembinaan disifatkan sebagai di luar kebiasaan.

Penolong Pengurus Cawangan Bank Muamalat Malaysia Berhad, Cawangan PKNS Shah Alam, Norazeanti Miswan berkata demikian dalam perbicaraan hari keenam bagi empat kes salah guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM225.3 juta dan tiga pengubahan wang haram (AMLA) sebanyak RM200 juta dihadapi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menjawab soalan tambahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, saksi berusia 39 tahun itu berkata, Bersatu menerima RM19.5 juta daripada akaun syarikat Mamfor Sdn Bhd bermula 12 Mei 2021 hingga 16 November 2022.

Norazeanti yang juga saksi pendakwaan kesembilan bersetuju dengan cadangan pendakwaan bahawa jumlah kemasukan jutaan ringgit itu merupakan sesuatu di luar kelaziman.

Beliau berkata, setakat pengetahuannya, Mamfor tidak melakukan transaksi kepada mana-mana parti politik lain seperti UMNO, DAP dan Pas.

“Mereka merupakan parti politik, namun Mamfor tidak pernah memberikan sumbangan kepada parti-parti itu selain Bersatu,” katanya.

Pendakwaan: Jadi, adakah Laporan Transaksi Mencurigakan atau STR dikeluarkan oleh pihak bank?

Norazeanti: Ya, bagi sebarang aktiviti yang mencurigakan, dalam kes ini melibatkan 29 transaksi, semenangnya ada STR dikeluarkan dan ia dihantar kepada ibu pejabat Bank Muamalat.

Pendakwaan: Kenapa?

Norazeanti: Terdapat keraguan dalam transaksi yang dilakukan Mamfor kerana nilai pengeluaran berkenaan besar malah berlaku secara kerap.

Pendakwaan: Apa yang dimaksudkan dengan kerap dan besar?

Norazeanti: Jumlah pengeluaran cek bank, mencecah antara RM500,000 hingga RM2 juta, berlaku berkali-kali pada 2021 hingga hujung 2022.

Pendakwaan: Sepanjang puan menjadi pegawai bank, adakah transaksi seumpama ini biasa dibuat oleh sesebuah syarikat?

Norazeanti: Saya tak pernah lihat transaksi seperti ini dilakukan sesebuah syarikat kepada parti politik kerana kebiasaannya mereka akan membuat bayaran selari dengan sifat perniagaannya.

Pendakwaan: Apa jadi dengan akaun bank Mamfor?

Norazeanti: Akaun itu telah ditutup oleh pelanggan itu sendiri pada 26 Februari 2025, selepas pihak bank menghantar notis penutupan akaun.

Sementara itu, menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Mohd Afzal, saksi ini berkata, surat penamatan akaun diberi selepas mendapat arahan daripada ibu pejabat bank.

“Memang ada duit dalam akaun itu, tapi pihak bank memberi notis pemberitahuan awal kepada pelanggan.

“Saya tidak pasti kenapa akaun berkenaan diminta supaya ditutup pada tahun 2025 sedangkan penerimaan wang berlaku secara berulang pada 2011 dan 2012,” katanya.

Sementara itu, dalam pernyataan bertulis, Norazeanti berkata, Bersatu menerima keseluruhan 29 transaksi memindahkan wang dan cek, termasuk satu pemindahan berjumlah RM1 juta, yang tidak dapat dipastikan penerimanya, pada 3 Februari 2022.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan transaksi bagi 2021 ialah RM8 juta sementara selebihnya pada 2022.

“Setiap transaksi kepada Bersatu juga disahkan telah didebitkan secara rasmi daripada baki akaun Mamfor,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat pindaan, Ahli Parlimen Pagoh ini didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM225.3 juta.

Wang itu didakwa daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika ia dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin selaku Presiden parti itu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM200 juta antaranya daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara Kuala Lumpur, di sini antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen ini membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin bersambung Rabu.