
KUALA LUMPUR – Sun PhuQuoc Airways dengan kerjasama Wifadah Travel & Tours selaku General Sales Agent (GSA) dan wakil komersial syarikat penerbangan itu di Malaysia menganjurkan seminar ejen pelancongan hari ini, menjelang pelancaran penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Phu Quoc bulan depan.
Seminar bertemakan ‘Phu Quoc – Your Ultimate Escape’ itu menghimpunkan kira-kira 130 wakil daripada syarikat pelancongan, agensi pelancongan dan rakan strategik industri penerbangan dari seluruh negara.
Acara itu turut menampilkan Sun Group Ecosystem Presentation, yang memperkenalkan rangkaian pengalaman hospitaliti, pelancongan, hiburan dan riadah bersepadu yang ditawarkan di Phu Quoc, Vietnam.

Laluan Kuala Lumpur–Phu Quoc akan mula beroperasi pada 1 September 2026 dengan satu penerbangan pergi balik setiap hari, menawarkan pilihan penerbangan terus perkhidmatan penuh kepada pelancong Malaysia yang ingin berkunjung ke destinasi pulau popular itu.
Penerbangan dari Phu Quoc akan berlepas pada 1.45 petang dan tiba di Kuala Lumpur pada 4.20 petang (waktu tempatan), manakala penerbangan dari Kuala Lumpur akan berlepas pada 5.20 petang dan tiba di Phu Quoc pada 5.55 petang (waktu tempatan).
Sun PhuQuoc Airways berkata, sebagai penerbangan perkhidmatan penuh, bayaran tambang merangkumi 23 kilogram bagasi daftar masuk, hidangan ringan serta minuman.
Selain itu, kanak-kanak berusia dua hingga bawah 12 tahun layak menikmati tambang pada kadar 75 peratus daripada tambang dewasa, memberikan lebih banyak kemudahan dan nilai tambah kepada keluarga Malaysia yang melancong ke Phu Quoc.
“Di dalam pesawat, penumpang dapat menikmati konsep perkhidmatan ‘Resort in the Sky’ Sun PhuQuoc Airways, yang menggabungkan kabin generasi baharu, haruman eksklusif La Festa serta layanan yang dirangka berasaskan pengalaman hospitaliti bertaraf lima bintang.
“Pengalaman perjalanan turut diperkaya dengan pelbagai tawaran di destinasi.
“Penumpang yang berlepas dari Kuala Lumpur antara 25 Julai 2026 hingga 25 Januari 2027 akan menerima tiket percuma Sun World Hon Thom Cable Car, selain diskaun sehingga 30 peratus untuk penginapan, sajian makanan, spa dan hiburan terpilih di bawah ekosistem Sun Group di Phu Quoc,” katanya.
Seminar tersebut turut menyaksikan Sun PhuQuoc Airways dan Wifadah Travel & Tours mencapai persetujuan untuk memperkukuh aktiviti pemasaran destinasi, memperluas rangkaian pengedaran serta membangunkan produk pelancongan yang memenuhi keperluan pasaran Malaysia.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha bersepadu kedua-dua pihak untuk meningkatkan aliran pelancong Malaysia ke Phu Quoc, di samping merangsang permintaan perjalanan dua hala antara kedua-dua pasaran.
Selain itu, kedua-dua pihak turut menggariskan hala tuju strategik untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab penghubung serantau, sekali gus membuka peluang untuk menarik pelancong dari Malaysia serta pasaran sekitarnya ke Phu Quoc secara berperingkat.
Kuala Lumpur merupakan destinasi antarabangsa ketujuh Sun PhuQuoc Airways, selepas Taipei, Seoul, Hong Kong, Chengdu, Singapura dan Bangkok.

Seiring dengan perkembangan rangkaian penerbangannya, Sun PhuQuoc Airways telah meningkatkan saiz armadanya kepada 17 pesawat setakat awal Ogos 2026 dan merancang untuk memperkenalkan Airbus A330 ke dalam operasi bermula bulan depan.
Pengembangan kapasiti ini akan menyediakan asas yang lebih kukuh untuk syarikat penerbangan tersebut mengembangkan rangkaian antarabangsanya, meningkatkan pengalaman penumpang secara berperingkat mengikut piawaian perkhidmatan bertaraf lima bintang antarabangsa, serta menghubungkan Phu Quoc kepada pasaran pelancongan utama di seluruh rantau ini secara lebih rapat. – KOSMO! ONLINE



