
PETALING JAYA: Anak syarikat milik penuh Sunway Construction Group Bhd. (SunCon), Sunway Construction Sdn. Bhd. (SCSB), menerima surat lantikan daripada sebuah syarikat teknologi multinasional yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) bagi melaksanakan kerja-kerja pemasangan mekanikal, elektrikal dan perpaipan (MEP) untuk pembangunan sebuah pusat data di Johor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SunCon berkata, kontrak bernilai RM1.02 bilion itu dijadualkan siap pada suku keempat 2027.
Menurut syarikat itu, kontrak berkenaan dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan keuntungan Kumpulan SunCon bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 serta tahun-tahun kewangan berikutnya sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
“Dengan penganugerahan kontrak tersebut, SunCon telah memperoleh kontrak baharu berjumlah RM5.8 bilion bagi tahun kewangan semasa,” katanya.
Perkembangan itu turut meningkatkan jumlah nilai perolehan kontrak semasa kumpulan kepada RM10.4 bilion, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat dengan aliran pendapatan yang mampan untuk tempoh beberapa tahun akan datang. – UTUSAN
The post SunCon raih kontrak RM1.02 bilion bangunkan pusat data di Johor appeared first on Utusan Malaysia.




