PONTIAN – Kawasan Sungai Simpang Kiri yang sebelum ini dikaitkan dengan aktiviti penambakan sisa bahan binaan dari Singapura akan terus dipantau bagi memastikan tiada lagi kegiatan yang boleh menjejaskan sumber pendapatan dan kebajikan komuniti nelayan setempat.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Md Israk Abdullah berkata, pemantauan berterusan akan dilakukan walaupun hasil analisis sampel air yang diambil mengesahkan tiada pencemaran dikesan di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, keputusan analisis terkini juga tidak menunjukkan kehadiran logam berat, bahan toksik serta kandungan minyak dan gris, manakala kualiti air direkodkan berada pada tahap normal.
“Walaupun hasil siasatan awal mendapati tiada gangguan terhadap kualiti air berdasarkan sampel yang diambil oleh Jabatan Kimia Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia, kerajaan negeri akan terus memantau perkara ini dari semasa ke semasa.
“Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang oleh mana-mana pihak, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan demi menjaga kebajikan nelayan di kawasan ini,” katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Kampung Simpang Kiri di sini pada Khamis.
Md Israk yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup berkata, aduan yang dikemukakan nelayan dan penduduk setempat telah dibawa ke Pejabat Daerah Pontian sebelum mendapat perhatian pihak berkuasa berkaitan.
Menurutnya, semua lokasi yang dikenal pasti terlibat dengan aktiviti penambakan haram telah diarahkan menghentikan operasi.
“Lebih 10 lokasi yang dikaitkan dengan aktiviti penambakan sisa bahan binaan telah dikenal pasti dan kesemuanya telah ditutup.
“Termasuk lokasi berhampiran jeti ini yang telah ditutup dan tidak lagi beroperasi sejak dua hingga tiga bulan lalu,” katanya.
Beliau berkata, isu berkenaan turut dibincangkan dalam Mesyuarat Penyelarasan di Pejabat Daerah Pontian pada 17 September lalu yang melibatkan lapan agensi kerajaan.
Antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Perbandaran Pontian, Pejabat Tanah Daerah Pontian, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) serta Penghulu Mukim Sungai Karang.
Menurut beliau, susulan aduan nelayan, Jabatan Perikanan Malaysia dan Jabatan Kimia Malaysia turut menjalankan pensampelan air di kawasan berkenaan bagi tujuan analisis.
“Bagi ujian kualiti air, sampel yang digunakan mestilah sampel semasa dan bukannya sampel lama.
“Keputusan yang diterima berdasarkan sampel terkini menunjukkan tiada pencemaran dikesan,” katanya.
Dalam pada itu, Md Israk menggesa penduduk dan masyarakat setempat supaya segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang disyaki melanggar undang-undang atau tidak mematuhi piawaian ditetapkan.
Katanya, tindakan pantas daripada orang ramai penting bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya sebelum sesuatu isu menjadi lebih serius.



