
PONTIAN – Seramai 17 pemilik tanah di daerah ini akan dipanggil Pejabat Tanah Pontian selepas kawasan mereka dikenal pasti dijadikan tapak pembuangan sisa bahan binaan dari Singapura sejak tahun lalu.
Pentadbir Tanah Daerah Pontian, Hanis Musalman Salehan berkata, ia melibatkan tanah seluas 20.23 hektar di beberapa mukim termasuk Sungai Karang, Api-Api, Rimba Terjun, Serkat dan Jeram Batu/Pengkalan Raja.
Katanya, arahan ke atas pemilik tanah persendirian atau syarikat itu dibuat bagi tujuan serahan notis di bawah Seksyen 127 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 berhubung pelanggaran syarat penggunaan tanah.
“Selain itu, notis siasatan Borang 24 juga akan diserahkan bagi menyiasat aktiviti pembuangan sisa binaan di kawasan mereka.Kita akan panggil datang ke Pejabat Tanah minggu hadapan,” katanya ketika ditemui selepas melawat Sungai Simpang Kiri.
Turut hadir Pengerusi Pakatan Nelayan Sungai Simpang Kiri, Shahrizal Sirang dan Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Johor Selatan, Mohd. Ikhwan Abd. Rahman.
Hanis berkata, notis tersebut turut mengarahkan pemiliknya mengambil tindakan memulihkan semula tanah yang sebelum ini berstatus pertanian, namun didakwa dijadikan tapak pembuangan sisa bahan binaan.
“Ia merupakan tanah pertanian, namun dijadikan tapak pembuangan sisa bahan binaan dan tiada sebarang kelulusan kerja-kerja perancangan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan,”
katanya.
Sementara itu, Mohd. Ikhwan berkata, pihaknya membuat aduan kepada Jabatan Alam Sekitar baru-baru ini selepas mendapati kerja-kerja penambakan berlaku berhampiran
Sungai Simpang Kiri.
Jelasnya, aduan itu dibuat susulan kebimbangan penduduk dan nelayan berhubung kemungkinan berlakunya pencemaran alam sekitar selain mengotorkan kawasan serta menimbulkan risiko keselamatan kepada orang ramai.
“Kerja-kerja penambakan juga menyebabkan gangguan kepada laluan keluar masuk bot nelayan apabila keadaan sungai semakin sempit,” katanya.
Beliau berharap isu tersebut dapat diselesaikan dengan segera dan nelayan yang terjejas mendapat ganti rugi atau pampasan sekiranya siasatan kelak mendapati kerugian tersebut berpunca akibat kerja-kerja penambakan.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan kerajaan negeri Johor mahu siasatan menyeluruh dilakukan berhubung dakwaan aktiviti penambakan sisa bahan binaan di Sungai Simpang Kiri, Mukim Sungai Karang yang didakwa menjejaskan pendapatan nelayan di kawasan tersebut.
The post 17 pemilik tanah kena ‘menjawab’ kes sisa Singapura appeared first on Kosmo Digital.





