Kadar pengangguran Malaysia dijangka kekal rendah di bawah 3% – penganalisis

LocalBusiness & Finance
21 Jul 2025 • 12:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kadar pengangguran Malaysia dijangka kekal rendah di bawah 3% – penganalisis

image is not available

21/07/2025 - 12:05

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Julai – Kadar pengangguran Malaysia dijangka kekal di bawah paras 3% tahun ini disokong oleh peningkatan guna tenaga dan peluang pekerjaan yang berterusan, khususnya dalam sektor perkhidmatan, kata penganalisis.

Baru-baru ini, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan kadar pengangguran negara menurun daripada 3.1% pada Mac kepada 3% pada April dan Mei iaitu paras terendah dalam tempoh sedekad.

Pengasas dan ahli ekonomi Williams Business Consultancy Sdn Bhd, Geoffrey Williams berkata, kadar itu dijangka akan terus kekal rendah sepanjang separuh kedua 2025.

“Kadar pengangguran akan kekal rendah seperti biasa dan masih ramai yang bekerja dalam keadaan pekerjaan itu tidak setimpal dengan kelayakan atau pendapatan mereka.

“Dalam masa sama, pertumbuhan gaji yang perlahan terus menjejaskan keupayaan rakyat untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya, lapor StarBiz.

Tambahnya, landskap pasaran buruh kini sedang berubah apabila semakin ramai individu memilih untuk menjana pendapatan melalui ekonomi gig, perniagaan kecil-kecilan, kerja bebas dan sambilan.

“Peralihan ini berlaku kerana peluang kerja tetap semakin kurang menarik dengan gajinya yang rendah, syarat yang tidak memihak kepada pekerja dan kekurangan ruang fleksibiliti untuk menyesuaikan kerja dengan kehidupan harian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Centre for Market Education, Carmelo Ferlito pula berpandangan tiada perubahan ketara akan berlaku terhadap kadar pengangguran negara dalam jangka masa terdekat.

“Kadar ini kekal dalam kategori pengangguran struktur dan masih rendah. Namun, kita perlu memerhati kesan jangka sederhana terutama akibat perang dagangan dan dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya.

BNM baru-baru ini menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75% pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Julai lalu.

Mengulas perkembangan pasaran buruh tahun ini, beliau berkata, walaupun data keseluruhannya menunjukkan prestasi yang positif, namun hakikat sebenar di lapangan masih menimbulkan kebimbangan terhadap isu-isu asas yang belum diselesaikan


“Lebih ramai menyertai tenaga buruh tetapi ini bukan petanda baik kerana ramai dalam kalangan mereka adalah anak muda yang meninggalkan pengajian untuk menyara keluarga atau mengambil kerja sambilan bagi menambah pendapatan isi rumah.

“Selain itu, walaupun pengangguran kekal rendah, pengangguran tersembunyi semakin menjadi isu membimbangkan kerana ramai yang menerima pekerjaan di bawah kelayakan kerana tiada pilihan lain,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan jangkaan struktur gaji kekal rendah dan tidak berkembang.

“Gaji median hanya meningkat 3.4% tahun lalu kepada sekitar RM3,045 yang membawa maksud separuh daripada pekerja formal masih tergolong dalam ‘golongan bekerja miskin’ kerana tidak mampu menampung kehidupan.

“Malah, gaji sebenar (real wage) median jatuh hampir 9% akibat tekanan kos sara hidup yang meningkat dan kadar penyertaan tenaga buruh dalam kalangan belia yang lebih tinggi.

“Dalam sektor pembuatan pula, produktiviti yang rendah menyebabkan gaji sebenar terus merosot sejak pandemik Covid-19,” katanya.

Dalam masa sama, BIMB Research berpendapat keyakinan terhadap pasaran buruh negara semakin meningkat, didorong oleh penyertaan lebih ramai pencari kerja serta pertumbuhan tenaga kerja yang stabil, sejajar dengan perkembangan ekonomi yang berterusan.

“Gabungan penciptaan pekerjaan yang stabil dan kadar pengangguran yang rendah mencerminkan kesesuaian pekerjaan yang lebih baik, dengan lebih ramai individu berjaya mendapatkan pekerjaan yang sesuai.

“Pertumbuhan tenaga buruh kekal mapan didorong permintaan berterusan bagi eksport elektrik dan elektronik serta daya tahan ekonomi yang lebih meluas,” jelas firma penyelidikan itu.

Bagaimanapun, kadar pengangguran belia masih tinggi pada 10.2% walaupun mencatat penurunan kecil 0.1 mata peratusan, menunjukkan masih wujud halangan struktur terhadap penyertaan golongan muda dalam pasaran kerja.

BIMB berkata, pasaran buruh dijangka akan kekal stabil hingga 2025 berikutan permintaan domestik yang kukuh dan perkembangan dalam sektor teknologi dan perkhidmatan.

“Keadaan pasaran buruh yang positif dijangka menyokong perbelanjaan pengguna dan membantu mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi, meskipun berdepan ketidaktentuan perdagangan global.

“Bagaimanapun, sektor berorientasikan eksport mungkin terkesan akibat tarif global yang tinggi, sekali gus mengurangkan aktiviti pengambilan pekerja dan pertumbuhan gaji dalam sektor luaran,” katanya.

Dalam konteks ini, penurunan kadar OPR kepada 2.75% dilihat dapat merangsang permintaan domestik dan menggalakkan pengambilan pekerja terutamanya dalam sektor seperti pembinaan, perkhidmatan dan pembuatan yang sensitif kepada kadar faedah.

Secara keseluruhan, pertumbuhan guna tenaga dijangka kekal kukuh dengan kadar pengangguran purata sekitar 3.2% bagi 2025, mencerminkan ketahanan pasaran buruh meskipun berdepan cabaran luaran.

MIDF Research turut berkongsi pandangan optimis terhadap prospek pasaran kerja Malaysia.

“Kami menjangka kadar pengangguran purata menurun sekitar 3% pada 2025 disokong oleh pertumbuhan guna tenaga dan peluang pekerjaan yang berterusan, khususnya dalam sektor perkhidmatan.

“Penciptaan pekerjaan dan permintaan buruh dijangka dipacu oleh penggunaan domestik yang kukuh serta pelaburan yang berterusan,” katanya.

Namun, MIDF turut menegaskan gangguan berkaitan tarif boleh memberi kesan kepada permintaan global, sekali gus menyusutkan aktiviti pengambilan pekerja dalam sektor eksport dan komoditi.

Sebaliknya, peningkatan guna tenaga dan pertumbuhan gaji yang stabil dijangka tertumpu dalam sektor berorientasikan domestik yang tidak begitu terjejas kesan kenaikan tarif AS.- DagangNews.com

standard