hamden21/10/2026 - 18:04 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Okt – Sunway Healthcare Holdings Bhd (SHH) memeterai usaha sama strategik dengan Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) untuk membangunkan Sunway Medical Centre Putrajaya, sebuah hospital swasta pelbagai kepakaran dengan kapasiti 325 katil di Presint 7, Putrajaya.
Usaha sama itu membabitkan pegangan saham masing-masing sebanyak 60% oleh SHH dan 40% oleh PjH, menerusi anak syarikat milik penuh mereka, Sunway Healthcare Ventures Sdn Bhd (SHV) dan Tapak Senja Sdn Bhd (TSSB).
Perjanjian Usaha Sama dan Pemegang Saham yang muktamad itu dimeterai susulan Perjanjian Prinsip yang ditandatangani pada 23 April 2025.
Projek berkenaan merupakan usaha sama hospital pertama SHH sejak disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Mac 2026, sekali gus membawa pembangunan itu ke fasa pelaksanaan seterusnya.

Pembinaan hospital berkenaan disasarkan bermula pada suku keempat 2027, manakala penyiapannya dijangka pada 2031, tertakluk kepada kelulusan berkaitan dan jadual pelaksanaan projek.
Hospital itu dirancang menawarkan pelbagai perkhidmatan perubatan canggih dan rawatan pakar, termasuk unit khusus rawatan melecur, bagi memenuhi keperluan penduduk Putrajaya, kawasan Lembah Klang Selatan serta pesakit antarabangsa.
Memenuhi keperluan penjagaan kesihatan masa hadapan
Presiden Sunway Healthcare Group (SHG), Datuk Lau Beng Long berkata, usaha sama itu mencerminkan pendekatan pengembangan kumpulan yang berdisiplin menerusi kerjasama dengan PjH, selaku pemaju induk Putrajaya, bagi mengukuhkan kehadirannya di pusat pentadbiran negara.
Menurutnya, SHG mempunyai pengalaman operasi selama 27 tahun dengan rangkaian lima hospital, hampir 2,000 katil berlesen, sekitar 80 bidang kepakaran dan subkepakaran serta 28 Pusat Kecemerlangan.
“Kami membawa rekod prestasi yang terbukti dalam rawatan kompleks dan khusus, kecemerlangan klinikal, pengalaman pesakit serta operasi hospital.
“Bersama PjH, kami berhasrat membangunkan hospital yang direka untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan masa hadapan, memperluas akses kepada rawatan berkualiti tinggi dan memperkukuh kedudukan Putrajaya sebagai destinasi perubatan bagi rakyat Malaysia serta pesakit antarabangsa,” katanya.
Hospital itu akan dibangunkan di atas tanah pegangan bebas seluas kira-kira 2.5 ekar di Presint 7, bersebelahan Putrajaya Sentral.
Lokasinya terletak dalam pembangunan berorientasikan transit (TOD) di Putrajaya, yang turut menempatkan Destina Putrajaya, destinasi peruncitan bersepadu seluas 97,000 kaki persegi dengan sambungan laluan pejalan kaki ke stesen Express Rail Link (ERL) dan Transit Aliran Massa (MRT) di Putrajaya Sentral.
Kedudukan strategik
Kedudukan strategik berhampiran rangkaian rel dan jalan raya serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka membolehkan hospital itu memenuhi keperluan pesakit tempatan dan serantau.
Di bawah usaha sama berkenaan, SHG akan menerajui perancangan klinikal dan operasi hospital, mendapatkan lesen operasi serta kelulusan berkaitan, selain menyewa dan mengendalikan kemudahan itu selepas siap.
PjH pula akan menyumbangkan tanah projek serta menyediakan kepakaran pembangunan hartanah dan infrastruktur bagi menyokong pembinaan serta integrasi hospital itu dalam ekosistem bandar Putrajaya.
Hospital berkenaan turut dijangka melengkapi kemudahan penjagaan kesihatan sedia ada di Putrajaya, termasuk Hospital Putrajaya, Institut Kanser Negara dan Akademi Perubatan Malaysia.
Menerusi rangkaian hospital dan perkhidmatan penjagaan kesihatannya, SHG berhasrat memperluas akses kepada kepakaran perubatan serta penjagaan yang diselaraskan untuk penduduk, komuniti perniagaan dan pengunjung di Putrajaya serta kawasan sekitarnya.
Pembangunan itu dijangka memperluas keupayaan perkhidmatan pakar SHG ke Putrajaya, sekali gus melengkapi rangkaian sedia ada kumpulan berkenaan dan mendekatkan lebih banyak pilihan rawatan khusus kepada masyarakat. - DagangNews.com


