Syarikat pelaburan Singapura jual keseluruhan ekuiti dalam Sunway Healthcare bernilai lebih RM1 bilion - Bloomberg

LocalBusiness & Finance
22 Sep 2026 • 12:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Syarikat pelaburan Singapura jual keseluruhan ekuiti dalam Sunway Healthcare bernilai lebih RM1 bilion - Bloomberg Image from: Syarikat pelaburan Singapura jual keseluruhan ekuiti dalam Sunway Healthcare bernilai lebih RM1 bilion - Bloomberg hamden22/09/2026 - 12:05

KUALA LUMPUR 22 Sept - Greenwood Capital Private Ltd, syarikat pelaburan milik dana kekayaan negara Singapura, GIC, dilaporkan menjual keseluruhan pegangannya dalam Sunway Healthcare Holdings Bhd bernilai lebih RM1 bilion.

 

Menurut laporan Bloomberg yang memetik dokumen penjualan, sebanyak 575 juta saham Sunway Healthcare dijual pada harga RM2.08 sesaham, menjadikan nilai transaksi itu kira-kira RM1.20 bilion.

 

Harga jualan tersebut mewakili diskaun kira-kira 9% berbanding harga penutup saham Sunway Healthcare pada RM2.29 pada Isnin.

 

Ia juga hampir kepada paras terendah dalam julat harga RM2.07 hingga RM2.10 yang ditawarkan kepada pelabur.

 

Blok saham berkenaan mewakili kira-kira 5% daripada jumlah saham terbitan Sunway Healthcare dan merupakan keseluruhan pegangan Greenwood dalam pengendali hospital itu.

 

Sebelum penyenaraian awam permulaan (IPO) Sunway Healthcare pada Mac lalu, Greenwood merupakan pemegang saham kedua terbesar syarikat dengan pegangan 16%.

 

Sejak penyenaraian itu, saham Sunway Healthcare meningkat kira-kira 58% sehingga Isnin, walaupun terdapat kebimbangan pelabur terhadap penilaian saham yang tinggi serta pembaharuan dalam industri penjagaan kesihatan.

 

Dalam dagangan Selasa, saham Sunway Healthcare susut kira-kira 4% kepada RM2.20 pada pukul 10 pagi, dengan lebih 14 juta saham bertukar tangan.

 

Pada harga tersebut, Sunway Healthcare mempunyai permodalan pasaran melebihi RM25 bilion. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved