
SHAH ALAM – Rakyat Selangor bakal menikmati urusan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi satu aplikasi ‘Super App’ yang mengintegrasikan kesemua 12 PBT di negeri ini.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, aplikasi itu akan menghimpunkan pelbagai perkhidmatan termasuk aduan dan urusan berkaitan PBT bagi memudahkan rakyat.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi mengatasi lambakan aplikasi berbeza setiap PBT dan agensi berkaitan sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.
“Baru-baru ini kita menerima aduan daripada pelanggan melibatkan jabatan lain dan sebagainya, mereka pun keliru. Setiap (agensi atau jabatan) ada satu atau dua aplikasi dan semuanya mahu menggunakan aplikasi masing-masing.
“Jadi, Selangor bercadang membangunkan ‘Super App’ supaya semua PBT boleh menggunakan satu aplikasi yang dikongsi bersama agar setiap aduan dapat dikendalikan dengan cepat, pantas, cekap selain menjimatkan masa,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas soalan tambahan Muhammad Hilman Idham (PN-Gombak Setia) sama ada kerajaan negeri mempunyai rancangan membangunkan platform aduan antara PBT.
Bagaimanapun, Suee Lim berkata, usaha pendigitalan tidak boleh dilaksanakan secara mendadak kerana masih terdapat golongan yang tidak celik teknologi maklumat (IT) khususnya warga emas.
“Jadi proses pendigitalan ini mengambil sedikit masa dan tidak boleh dilakukan sekali gus. Kita minta PBT menyediakan kaunter supaya mereka boleh datang berurusan secara manual. Pada masa sama membantu memahami aplikasi itu.
“Semua (usaha) ini bagi memastikan interaksi bersama PBT tetap ada,” ujarnya. – KOSMO!ONLINE
The post ‘Super App’ mudahkan rakyat salur aduan 12 PBT dalam satu aplikasi appeared first on Kosmo Digital.






