
SHAH ALAM, 10 OGOS: Kerajaan Negeri bercadang membangunkan aplikasi ‘Super Aps’ yang menggabungkan perkhidmatan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor menerusi satu platform.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata aplikasi itu bertujuan memudahkan rakyat menyalurkan aduan dan maklumat, selain meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.
“Di Selangor, kita bercadang membangunkan satu aplikasi 'Super Aps' supaya semua PBT boleh gunakan satu aplikasi dimana semua aduan, perkhidmatan dan sebagainya, boleh dikongsi bersama.
“Saya yakin dengan kaedah ini, kita akan laksana penambahbaikan, dan akhirnya kita akan bangunkan 'Super Aps' dan kita akan berurusan dengan lebih cekap dan pantas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan wakil rakyat Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berhubung kecekapan perkhidmatan perbandaran oleh PBT pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Suee Lim berkata Kerajaan Negeri turut memberi perhatian terhadap perlindungan butiran peribadi pengguna bagi memastikan maklumat berkenaan tidak dibocorkan atau disalahgunakan sewenang-wenangnya.
Jelas Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan itu, vendor yang terbabit dalam pembangunan dan pengoperasian aplikasi berkenaan juga akan ditapis bagi memastikan hanya penyedia berkeupayaan serta mempunyai prestasi baik dipilih.
“Soal kerahsiaan, kita juga pantau supaya butiran-butiran itu tidak bocor sewenang-wenangnya. Itu kita akan pantau dari masa ke semasa,” katanya.
Dalam pada itu, Suee Lim berkata kaunter perkhidmatan PBT akan terus disediakan bagi membantu golongan yang tidak celik digital, khususnya warga emas dan penduduk luar bandar.
Menurutnya, kakitangan di kaunter juga akan diminta membantu golongan terbabit menggunakan perkhidmatan digital serta memberi pendedahan mengenai sistem berkenaan.
“Memang terdapat golongan yang tidak celik IT seperti warga emas. Dalam proses pendigitalan ini, kita perlu ambil masa sikit dan tidak boleh sekali gus. Kita minta PBT sediakan kaunter untuk mereka dan boleh ajar sekali, perlu didik,” katanya.






