Super El Nino dijangka November, Malaysia perlu bersiap sekarang

LocalEnvironment
19 Jul 2026 • 3:17 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Super El Nino dijangka November, Malaysia perlu bersiap sekarang

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Malaysia perlu memulakan persiapan awal serta bersepadu bagi mengurangkan kesan fenomena Super El Nino yang dijangka melanda dan boleh membawa risiko besar kepada kesihatan awam, keselamatan air, pertanian serta alam sekitar, kata Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata ramalan Malaysia mungkin mengalami fenomena itu pada November ini, dengan keadaan dijangka memuncak antara bulan itu hingga Januari depan harus dianggap sebagai amaran serius kepada pihak berkuasa dan orang ramai untuk memperkukuh persiapan menghadapinya.

Beliau bagaimanapun menegaskan keadaan itu tidak sepatutnya mencetuskan panik sebaliknya perlu mendorong tindakan awal bagi mengurangkan risiko yang berpotensi berlaku akibat keadaan panas dan kering berpanjangan.

“Pihak berkuasa meteorologi telah memberikan amaran fenomena itu boleh menyebabkan suhu jauh lebih tinggi, tempoh kering berpanjangan, pengurangan taburan hujan serta peningkatan risiko jerebu, terutamanya selepas musim monsun.

“Pengalaman El Nino sebelum ini menunjukkan keadaan itu boleh membawa kesan meluas termasuk kekurangan air, peningkatan kebakaran hutan dan tanah gambut, jerebu rentas sempadan, pengurangan hasil pertanian, ancaman keselamatan makanan, kesan buruk kesihatan seperti strok haba dan dehidrasi serta gangguan aktiviti ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata kumpulan rentan termasuk warga emas, kanak-kanak, pekerja luar dan mereka yang menghidap penyakit kronik akan menjadi antara mereka yang paling berisiko semasa tempoh cuaca panas melampau yang berpanjangan.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata Malaysia perlu mengambil pendekatan proaktif, bersepadu dan menyeluruh melibatkan seluruh masyarakat bagi meminimumkan kesan fenomena tersebut.

Antara langkah yang dicadangkan ialah memperkukuh pengurusan sumber air melalui penggunaan berhemah, mengurangkan kebocoran, meningkatkan kapasiti simpanan dan menyediakan pelan kontingensi bagi kawasan yang berisiko mengalami kekurangan air.

Lee juga menggesa pemantauan dan penguatkuasaan dipertingkatkan bagi mencegah pembakaran terbuka dan kebakaran hutan atau tanah gambut selain memastikan keupayaan tindak balas kecemasan yang pantas.

“Kesiapsiagaan kesihatan awam perlu dipertingkatkan melalui nasihat yang tepat pada masanya, penubuhan pusat penyejukan di lokasi memerlukan dan pendidikan awam mengenai pencegahan penyakit berkaitan haba,” katanya.

Beliau juga menggesa sokongan lebih baik kepada petani melalui sistem pengairan yang cekap, tanaman tahan kemarau, bantuan teknikal dan kewangan bagi meminimumkan kerugian serta memastikan bekalan elektrik tidak terganggu untuk memenuhi peningkatan permintaan terhadap proses penyejukan.

Selain itu, Lee menekankan keperluan bagi kempen kesedaran awam yang lebih meluas berkaitan pemuliharaan air, pencegahan kebakaran dan langkah berwaspada kesihatan diri serta penyelarasan lebih kukuh antara pihak berkuasa Persekutuan, negeri dan tempatan bagi memastikan pelan tindak balas kecemasan dapat diaktifkan segera.

Beliau berkata perubahan iklim menjadikan kejadian cuaca ekstrem berlaku lebih kerap serta teruk dan jangkaan Super El Nino tidak harus dilihat sekadar fenomena bermusim sebaliknya sebagai satu lagi peringatan untuk Malaysia memperkukuh daya tahan iklim dan kesiapsiagaan bencana.

“Kesiapsiagaan sentiasa lebih berkesan dan kurang menelan kos berbanding tindak balas terhadap krisis selepas ia berlaku.

“Perancangan awal dan kerjasama padu antara agensi kerajaan, perniagaan, komuniti dan orang ramai boleh mengurangkan kesan Super El Nino dan melindungi nyawa, mata pencarian serta alam sekitar dengan lebih baik,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved