Super El Nino: Suhu dijangka cecah 40 darjah Celcius tahun depan - MetMalaysia

LocalEnvironment
10 Sep 2026 • 7:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Super El Nino: Suhu dijangka cecah 40 darjah Celcius tahun depan - MetMalaysia

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan suhu di beberapa kawasan dalam negara mampu melepasi 40 darjah Celsius tahun hadapan, susulan fenomena Super El Nino yang diramal berada pada tahap intensiti paling kuat.

Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata impak fenomena berkenaan biasanya akan mula dirasai pada penghujung Musim Monsun Timur Laut iaitu sekitar Mac hingga April, khususnya di negeri-negeri utara Semenanjung.

Beliau berkata kemuncak fenomena cuaca terlalu panas itu dijangka bertembung dengan tempoh Ekuinoks sekitar Mac hingga April depan, sekali gus mendorong lonjakan suhu ekstrem.

"Rekod suhu harian tertinggi yang pernah dicatatkan di negara ini adalah 40.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis semasa fenomena Super El Nino pada 1997/1998.

"Melihat kepada fenomena yang diramal lebih kuat daripada episod sebelum ini, ditambah pula faktor pemanasan global, adalah tidak mustahil suhu boleh melepasi rekod dan mencecah hingga 40.5 atau 41 darjah Celsius," katanya ketika menjadi tetamu program Fokus 30 bertajuk 'Super El Nino: Kesan Kepada Negara' terbitan BERNAMA Radio, di sini hari ini.

Beliau berkata umat Islam dijangka berpuasa dan beraya dalam keadaan cuaca sangat panas tahun hadapan, justeru, aktiviti ziarah-menziarahi serta aktiviti luar rumah wajar dielakkan demi keselamatan dan kesihatan.

"Matahari berada tegak atas kepala semasa Ekuinoks dan tanpa perlindungan awan yang mencukupi akibat cuaca kering, pendedahan terus kepada haba boleh memberi impak buruk," katanya.

Mohd Hisham berkata persekitaran cuaca ketika ini masih di peringkat El Nino biasa dan perlu melalui fasa beransur-ansur daripada tahap lemah, sederhana, kuat sehingga berkembang menjadi sangat kuat atau Super El Nino menjelang penghujung tahun ini.

Menurut beliau, Malaysia pernah berdepan kejadian Super El Nino sebanyak tiga kali sebelum ini iaitu pada episod 1982/1983, 1997/1998 dan 2015/2016 yang menyaksikan keadaan cuaca harian negara menjadi panas yang ekstrem.

Mohd Hisham berkata fenomena Super El Nino secara umumnya berlaku berikutan peningkatan suhu air laut di Lautan Pasifik yang mempengaruhi keadaan udara secara global, menyebabkan pengurangan taburan hujan ketara dan cuaca menjadi lebih kering berbanding kebiasaan selain meningkatkan risiko jerebu berintensiti tinggi akibat kebakaran terbuka.

"Dari segi rekod sebelum ini, kita pernah mencatatkan tempoh tanpa hujan berterusan hingga 70 hari di kawasan utara seperti Langkawi dan Alor Setar. Fenomena kali ini berkemungkinan menyebabkan tempoh tanpa hujan agak panjang berulang," katanya yang turut menasihati orang ramai agar membuat persediaan awal.

Beliau turut memberi amaran berhubung potensi akan berlaku krisis bekalan air yang lebih serius pada tahun hadapan susulan impak kemuncak fenomena alam itu.

Ini kerana kelewatan taburan hujan signifikan akibat cuaca kering berpanjangan berisiko menyusutkan lagi paras empangan di beberapa negeri yang ketika ini sudah pun mengalami gangguan bekalan air.

"Kita bimbang apabila sampai kemuncak Super El Nino awal tahun depan, situasi ini akan menjadi lebih parah. Pengalaman kita pada episod Super El Nino yang kuat sebelum ini pernah menyaksikan empangan di Melaka kering sepenuhnya," katanya.

Mohd Hisham turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa merujuk maklumat cuaca yang sah menerusi laman web rasmi atau aplikasi myCuaca MetMalaysia, dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial.

-- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved