Super El Nino tidak jejas sektor pertanian Selangor, paras empangan melebihi 85 peratus

LocalEnvironment
24 Jul 2026 • 10:41 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Super El Nino tidak jejas sektor pertanian Selangor, paras empangan melebihi 85 peratus

SHAH ALAM, 24 JULAI: Fenomena Super El Nino belum memberi kesan ketara terhadap sektor pertanian di Selangor susulan bekalan air di negeri itu yang masih mencukupi, kata EXCO Pertanian.

Dato' Ir Izham Hashim berkata Kerajaan Negeri sentiasa memantau keadaan cuaca, paras sungai serta bekalan air bagi memastikan aktiviti pertanian dapat diteruskan tanpa gangguan besar.

"Setakat ini kita tidak nampak kesan yang begitu ketara. Memang ada sedikit kesan disebabkan cuaca panas, tetapi tidak begitu teruk kerana bekalan air kita masih mencukupi.

"Paras tujuh empangan di Selangor juga masih berada sekitar 85 hingga 90 peratus," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pesta Buah-Buahan Negeri Selangor 2026 di Aneka Walk, Seksyen 14 di sini, hari ini.

Izham berkata pengeluaran buah-buahan di Selangor masih berada pada tahap memuaskan, manakala hasil tanaman padi juga belum menunjukkan penurunan yang membimbangkan walaupun berdepan cuaca panas.

Bagaimanapun katanya, kenaikan harga hasil pertanian hanya dijangka berlaku sekiranya cuaca ekstrem berpanjangan menyebabkan pengeluaran merosot sekali gus mengurangkan bekalan di pasaran.

Image from: Super El Nino tidak jejas sektor pertanian Selangor, paras empangan melebihi 85 peratus
EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim (tengah) ketika hadir merasmikan Pesta Buah-Buahan Negeri Selangor di Aneka Walk, Seksyen 14, Shah Alam pada 24 Jun 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

"Kalau hasil pengeluaran berkurangan, sudah tentu bekalan dalam pasaran juga berkurangan dan ketika itu harga mungkin meningkat. Tetapi setakat ini kita masih belum berada pada keadaan tersebut," katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan sektor pertanian di Selangor kekal berdaya tahan dalam menghadapi perubahan iklim.

Terdahulu, Izham memaklumkan Kerajaan Negeri menggalakkan orang ramai mengutamakan pembelian buah-buahan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import buah-buahan dan sayur-sayuran yang dianggarkan mencecah RM7.5 bilion setahun.

Beliau berkata inisiatif itu mampu merancakkan permintaan terhadap hasil pertanian tempatan, sekali gus meningkatkan pendapatan keluarga tani dan usahawan agro di negeri ini.

Pesta Buah-Buahan Negeri Selangor 2026 yang berlangsung selama tiga hari hingga Ahad dianjurkan oleh Jawatankuasa Pertanian Gabungan dengan sokongan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved