Bilangan tinggi kebakaran hutan di Indonesia tingkatkan risiko bekalan minyak sawit

Business & FinanceEnvironment
12 Aug 2026 • 12:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bilangan tinggi kebakaran hutan di Indonesia tingkatkan risiko bekalan minyak sawit Image from: Bilangan tinggi kebakaran hutan di Indonesia tingkatkan risiko bekalan minyak sawit johardy12/08/2026 - 12:05 Bandar raya Kuching dilanda jerebu teruk dipercayai akibat asap dari kebakaran hutan di Kalimantan, Indonesia. - Gambar Suara Sarawak Oleh Mohamad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Peningkatan mendadak titik panas atau kebakaran hutan di seluruh Indonesia memberi petunjuk keadaan cuaca semakin kering yang boleh mengancam pengeluaran minyak sawit pada penghujung tahun ini, sekali gus meningkatkan risiko bekalan yang berpotensi menyokong harga minyak sawit mentah (MSM) pada separuh kedua 2026, menurut CGS International.

 

Data Pusat Meteorologi Khusus ASEAN menunjukkan aktiviti titik panas di Indonesia meningkat ketara pada Ogos, diterajui Kalimantan apabila jumlahnya melonjak 159% bulan ke bulan kepada 3,462. Angka itu merangkumi kira-kira 60% daripada keseluruhan 5,825 titik panas yang direkodkan di Kalimantan setakat tahun ini.

 

Kebakaran hutan yang dilaporkan di Jawa Timur pada 3 Ogos, melibatkan kawasan seluas 550 hektar, turut memberi petunjuk keadaan semakin kering di beberapa bahagian Indonesia, kata CGS.

 

Walaupun jumlah titik panas ketika ini masih jauh lebih rendah berbanding ketika fenomena El Niño pada 2015 dan 2019, firma penyelidikan itu berkata kadar peningkatannya ketara.

 

Tempoh cuaca kering yang berpanjangan boleh memberi kesan lebih meluas kepada industri minyak sawit. Selain berpotensi menjejaskan hasil di Indonesia, kebakaran yang semakin buruk boleh meningkatkan risiko jerebu rentas sempadan di Malaysia serta mengganggu aktiviti penuaian, kata CGS.

 

Jabatan Meteorologi Malaysia turut memberi perhatian terhadap keadaan panas dan kering di sebahagian besar Sarawak sehingga 14 Ogos, dengan kawasan selatan negeri itu mengalami jerebu rentas sempadan susulan peningkatan aktiviti titik panas di Indonesia.

 

Bagaimanapun, CGS berkata semakan industrinya menunjukkan kebanyakan ladang di Malaysia masih menerima taburan hujan yang mencukupi ketika ini.

 

Risiko bekalan meningkat pada separuh kedua

CGS mengekalkan saranan Overweight terhadap sektor perladangan, dengan mengambil kira peningkatan risiko dari sudut bekalan pada separuh kedua 2026 berikutan kemungkinan berlaku El Niño "super" serta produktiviti lebih lemah di ladang Indonesia yang dipindahkan kepada Agrinas pada 2025.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan harga MSM boleh meningkat pada separuh kedua berbanding separuh pertama sekiranya pengeluaran serantau lebih rendah daripada jangkaan, khususnya pada suku keempat.

 

Permintaan biodiesel juga dijangka kekal berdaya tahan, disokong peruntukan biodiesel Indonesia yang lebih tinggi serta pelaksanaan berterusan mandat biodiesel Malaysia.

 

Stok minyak sawit Malaysia meningkat kepada 2.6 juta tan

Inventori minyak sawit Malaysia meningkat 3% bulan ke bulan kepada 2.6 juta tan pada Julai, atau 24% lebih tinggi berbanding setahun sebelumnya, berdasarkan data Lembaga Minyak Sawit Malaysia yang dikeluarkan pada 10 Ogos.

 

Peningkatan itu secara umumnya sejajar dengan jangkaan konsensus Bloomberg, dengan pengeluaran lebih kukuh menjadi pemacu utama pertambahan stok meskipun momentum eksport kekal mampan.

 

Pengeluaran mengukuh di kawasan pengeluar utama, termasuk peningkatan 11% bulan ke bulan di Semenanjung Malaysia dan 17% di Sarawak, sekali gus menyumbang kepada pengeluaran keseluruhan yang lebih tinggi di Malaysia Timur.

 

CGS terus memilih syarikat perladangan huluan termasuk Ta Ann Holdings Bhd dan Hap Seng Plantations Holdings Bhd, yang dijangka mencatat harga jualan purata bersih MSM secara relatif lebih kukuh berbanding syarikat setara di Indonesia. Firma itu turut melihat potensi peningkatan bagi SD Guthrie Bhd hasil harga MSM yang lebih tinggi serta hasil daripada langkah pengewangan aset bukan teras.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ADD terhadap Hap Seng Plantations dengan harga sasaran RM3.35, SD Guthrie pada RM7.40 dan Ta Ann pada RM6.85.

 

Pemangkin utama yang boleh mendorong penilaian semula sektor termasuk kemungkinan fenomena El Niño dan bekalan MSM yang lebih ketat, manakala risiko penurunan termasuk pertumbuhan pengeluaran minyak sawit dan tanaman biji minyak yang lebih kukuh daripada jangkaan serta peningkatan kos input. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved