Seorang suri rumah dari Taiping, Perak tidak menyangka pembelian baju raya secara dalam talian akhirnya membawa tuah besar apabila beliau memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM200,000 menerusi kempen “Bulan Bintang Terrrrpaling Raya” yang menampilkan inisiatif AFFIN Dream Box.
Nurul Aqilah Radzuan, 33, yang juga ibu kepada dua orang anak, pada awalnya hanya membeli pakaian tradisional untuk persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri seperti kebanyakan pelanggan lain.
Pembelian tersebut dibuat daripada jenama pakaian tempatan Bulan Bintang yang ketika itu menawarkan promosi khas sempena musim perayaan.
Menurut Aqilah, beliau sebenarnya tertarik untuk membeli pakaian tersebut kerana promosi hadiah sampingan yang ditawarkan, termasuk sebuah tumbler percuma.
Namun, beliau sama sekali tidak menjangkakan pembelian tersebut akan membawa kepada rezeki yang jauh lebih besar.
“Saya beli baju kurung itu sebab tertarik dengan promosi percuma tumbler. Apabila sampai, saya buka kotak, tengok tumbler, kemudian baru buka baju dan cuba pakai. Selepas itu, saya imbas kod QR tersebut dan terpandang angka yang banyak kosong di belakang.
“Saya tenung lama, ingatkan RM200 sahaja, tetapi apabila melihat jumlah sebenar, saya terus mengambil tangkapan skrin dan hantar kepada suami untuk pengesahan. Saya masih dalam keadaan tidak percaya sehingga pihak Bulan Bintang menghubungi saya,” kongsi Aqilah ketika majlis penyerahan hadiah di Menara AFFIN, TRX Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selepas menerima bungkusan yang dibeli, Aqilah mendapati terdapat kod QR pada pembungkusan produk tersebut. Tanpa berfikir panjang, beliau mengimbas kod berkenaan menggunakan telefon bimbitnya untuk melihat sama ada terdapat sebarang hadiah yang dimenangi.
Bagi Aqilah, kemenangan tersebut disifatkan sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka, apatah lagi ia diterima pada bulan Ramadan yang sering dikaitkan dengan keberkatan dan rezeki yang melimpah.
Beliau merancang untuk menggunakan wang kemenangan tersebut dengan sebaiknya bagi membantu keperluan keluarga, termasuk membuat simpanan untuk masa depan serta menampung beberapa perancangan keluarga yang tertangguh sebelum ini.
Sementara itu, pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi memberitahu, idea tersebut tercetus kerana setiap tahun syarikat berdepan cabaran untuk menawarkan hadiah fizikal yang lebih besar dalam kempen perayaan mereka.
“Orang ramai masih punya peluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi kempen ini. Dream box RM100,000, RM10,000, RM5,000 masih belum punya pemenang. Selain itu, ada juga hadiah kereta. Untuk senarai penuh hadiah, boleh semak di aplikasi Bulan Bintang,” ujar Azzim.
Kempen AFFIN Dream Box yang diperkenalkan melalui kolaborasi antara Bulan Bintang dan Affin Islamic Bank memberi peluang kepada pelanggan memenangi pelbagai hadiah wang tunai.
Konsep Dream Box diperkenalkan bagi memberikan kebebasan kepada pemenang untuk menggunakan hadiah mengikut keperluan dan impian masing-masing.
Melalui kempen tersebut, pelanggan hanya perlu membeli produk terpilih Bulan Bintang dan mengimbas kod QR yang disertakan untuk mengetahui sama ada mereka memenangi sebarang hadiah. - Getaran, 10 Mac 2026





