Suruhanjaya Koperasi Malaysia lantik Mohd Marzuki Yasoa' sebagai Ketua Pegawai Eksekutif

LocalBusiness & Finance
15 Sep 2026 • 11:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Suruhanjaya Koperasi Malaysia lantik Mohd Marzuki Yasoa' sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Image from: Suruhanjaya Koperasi Malaysia lantik Mohd Marzuki Yasoa' sebagai Ketua Pegawai Eksekutif amree15/09/2026 - 11:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 SeptSuruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melantik Mohd Marzuki Yasoa’ sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa 14 September 2026, ketika badan kawal selia itu mahu memperkukuh tadbir urus, transformasi digital dan daya saing gerakan koperasi negara.

 

Menurut kenyataan, pelantikan beliau itu dilihat penting bagi memastikan kesinambungan pentadbiran serta memperkukuh kepimpinan SKM dalam menghadapi landskap gerakan koperasi yang semakin dinamik.

 

Beliau membawa pengalaman lebih 26 tahun dalam gerakan koperasi dan akan menerajui pengurusan serta operasi harian SKM, termasuk memastikan dasar, strategi dan program pembangunan koperasi dilaksanakan secara berkesan, berintegriti dan memberi impak.

 

SKM berkata kepimpinan baharu itu hadir pada masa penting apabila gerakan koperasi memerlukan pendekatan yang lebih strategik, inovatif dan responsif terhadap perubahan ekonomi serta keperluan anggota koperasi.

 

"Di bawah kepimpinan baharu berkenaan, SKM akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekosistem koperasi melalui pemerkasaan tadbir urus dan peningkatan keupayaan koperasi," katanya.

 

Pada masa sama, suruhanjaya tersebut akan memberi penekanan kepada pengembangan aktiviti perniagaan, galakan inovasi serta mempercepatkan transformasi pendigitalan dalam sektor koperasi.

 

Suruhanjaya Koperasi Malaysia_DagangNews2026

 

Sebagai badan kawal selia tunggal bagi gerakan koperasi negara, SKM turut akan memperkukuh kerjasama dengan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).

 

Kerjasama dengan IKMa akan terus menyokong latihan serta pembangunan modal insan koperasi, manakala ANGKASA berperanan sebagai badan payung yang mewakili suara dan kepentingan gerakan koperasi di Malaysia serta peringkat antarabangsa.

 

"Kerjasama erat antara ketiga-tiga institusi itu penting bagi memastikan hala tuju pembangunan koperasi negara kekal berfokus, tersusun dan saling melengkapi," jelasnya lagi

 

SKM juga akan memperhebat kerjasama strategik dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), kementerian serta agensi kerajaan, kerajaan negeri dan pemegang taruh dalam gerakan koperasi.

 

Langkah itu bertujuan memastikan sektor koperasi terus berkembang sebagai antara pemacu penting ekonomi negara, dengan kepimpinan Mohd Marzuki diharap dapat memperkukuh profesionalisme, tadbir urus dan daya saing sektor berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved