
KUALA LUMPUR – Syarikat pertukaran mata wang, Moneywave telah menggabungkan saluran fizikal dan digital sebagai salah satu usaha menyesuaikan perkhidmatan dengan keperluan pengguna yang semakin berubah.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aiman Kallahan berkata, syarikat membangunkan kemudahan digital bagi melengkapkan perkhidmatan secara bersemuka untuk perkhidmatan pertukaran, kiriman dan penyelesaian perniagaan mata wang.
Katanya, persaingan itu perlu dilakukan untuk lebih berdaya saing selepas syarikat beroperasi lebih tiga dekad bermula di Pandan Indah, Ampang Jaya dan kini mempunyai ibu pejabat utamanya di Wisma MCA, Jalan Ampang.
“Pengalaman itu memberikan kami pemahaman mengenai keperluan pengguna ketika melakukan urusan berkaitan pertukaran dan pemindahan wang.
“Kami menghabiskan 30 tahun mempelajari apa yang diperlukan orang apabila mereka memindahkan wang,” katanya.
Menurut Aiman, pengguna kini boleh mendapatkan maklumat mengenai kadar pertukaran serta membuat persediaan transaksi melalui peranti mudah alih sebelum melengkapkan urusan untuk tukaran dan kiriman wang.
Tambahnya, Moneywave sedang meneroka pendekatan “first mile digital, last mile physical”, yang membolehkan pengguna memulakan urusan secara digital sebelum menyelesaikannya di lokasi fizikal.
“Ia membolehkan pengguna mendapatkan dan berpotensi mengunci kadar pertukaran melalui telefon sebelum membuat kutipan di kaunter pada masa yang ditetapkan,” katanya.
Ujar Aiman, pendekatan itu membolehkan saluran digital dan fizikal memainkan fungsi yang berbeza tanpa semestinya menggantikan antara satu sama lain.
“Perkembangan daripada kaunter pertukaran mata wang kepada model yang menggabungkan saluran fizikal dan digital mencerminkan perubahan dalam cara perkhidmatan kewangan disampaikan kepada pengguna,” katanya.
Bagaimanapun, di sebalik kemudahan teknologi, kefahaman terhadap sesuatu transaksi kekal penting bagi memastikan pengguna membuat keputusan kewangan berdasarkan maklumat yang mencukupi.
The post Moneywave gabung perkhidmatan fizikal, digital appeared first on Kosmo Online.






