Penggunaan gas asli dijangka cecah lebih 3,000 mmscfd menjelang 2050 - TA Research

LocalBusiness & Finance
14 Sep 2026 • 11:03 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penggunaan gas asli dijangka cecah lebih 3,000 mmscfd menjelang 2050 - TA Research Image from: Penggunaan gas asli dijangka cecah lebih 3,000 mmscfd menjelang 2050 - TA Research hamden14/09/2026 - 11:03 Loji janakuasa turbin gas Sultan Ibrahim Power Plant TNB menggunakan teknologi pembakaran bahan api gas asli yang mampu menghasilkan lebih 60% tenaga elektrik. - Gambar hiasan Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Sept - Penggunaan gas asli Malaysia berpotensi melonjak lebih tiga kali ganda kepada lebih 3,000 juta kaki padu piawai sehari (mmscfd) menjelang 2050, berbanding anggaran sekitar 1,000mmscfd pada 2020, didorong peningkatan kapasiti penjanaan berasaskan gas serta pertumbuhan permintaan elektrik asas.

 

TA Research berkata, unjuran itu dibuat berdasarkan peningkatan kapasiti loji janakuasa gas apabila loji berkenaan mengambil alih peranan utama penjanaan, selain pertumbuhan permintaan elektrik dan pengurangan kapasiti penjanaan arang batu secara berperingkat.

 

Menurut firma penyelidikan itu, perkembangan tersebut dijangka mewujudkan limpahan permintaan terhadap gas asli dan seterusnya memerlukan pengembangan infrastruktur bekalan gas domestik.

 

Tambahnya, peningkatan itu didorong terutamanya oleh dua faktor, pertama, penggantian arang batu kepada gas asli susulan persaraan kira-kira 7GW kapasiti penjanaan berasaskan arang batu antara 2029 hingga 2033.

 

Kedua, peningkatan permintaan tenaga asas daripada pusat data yang berpotensi mendorong permintaan gas ke paras lebih tinggi dalam julat unjuran tersebut.

 

Justeru, TA Research berpandangan pengembangan kapasiti terminal pengegasan semula (RGT) serta saluran paip pengangkutan gas berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan subsektor utiliti gas.

 

PETRONAS Gas Bhd (PETGAS) dengan saranan Beli dan harga sasaran (TP) RM19.42 merupakan proksi utama kepada tema berkenaan sebagai pemilik dan pengendali infrastruktur bekalan gas terbesar di Semenanjung Malaysia.

 

Sementara itu, Gas Malaysia Bhd yang tidak dinilai oleh firma tersebut telah disenarai pendek untuk membangunkan RGT4 di Yan, Kedah.

 

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan saranan Beli dan TP RM18.00 pula sedang mengorak langkah dalam subsektor berkenaan, dengan potensi mengambil pegangan dalam RGT3 di Lumut menerusi kerjasama dengan PETGAS.

 

Selain pembangunan RGT, pembinaan saluran paip gas baharu bagi menghubungkan pusat bekalan dan permintaan baharu dijangka menyumbang kepada pertumbuhan Asas Aset Terkawal (RAB) PETGAS.

 

Menurut TA Research, perkembangan infrastruktur tersebut akan menjadi semakin penting bagi menyokong peningkatan permintaan gas domestik apabila kapasiti penjanaan gas berkembang dan permintaan elektrik asas terus meningkat.

 

Kapasiti gas baharu diperlukan

Keperluan terhadap gas asli dijangka turut dipacu oleh penambahan kapasiti penjanaan berasaskan gas sebanyak 9GW yang disasarkan menjelang 2032, ketika kapasiti penjanaan arang batu dihentikan secara berperingkat.

 

Kira-kira 7.1GW kapasiti arang batu akan tamat tempoh antara 2029 hingga 2033, manakala baki 5GW lagi antara 2040 hingga 2044.

 

Keadaan tersebut dijangka menyebabkan kekurangan kapasiti selepas 2032 sekiranya pembangunan loji baharu tidak dipercepatkan.

 

Tender NewGen26 yang dilancarkan pada Februari 2026 pula menawarkan kapasiti penjanaan baharu berasaskan gas untuk ditauliahkan antara 2029 hingga 2031.

 

Antara pemain utama yang dilaporkan mengambil bahagian ialah TNB, konsortium YTLPower serta konsortium PETRONAS-Edra.

 

TNB telah memperoleh bekalan sehingga enam turbin gas dan penjana berkapasiti keseluruhan 4.2GW daripada Mitsubishi Power, manakala YTLPower juga difahamkan telah memperoleh turbin gas bagi projek berpotensi.

 

Beberapa projek lain turut berada dalam rundingan bagi penggantian kapasiti sedia ada dan pembangunan loji gas baharu.

 

Ini termasuk projek penggantian kapasiti 1.4GW PD Power dan 1.4GW Segari Energy Ventures Gen2 milik MALAKOF, selain projek penggantian kapasiti 1.4GW Paka milik TNB serta projek turbin gas kitaran gabungan (CCGT) 1.4GW dan 700MW di Kapar.

 

Prospek Kekal Kukuh

TA Research berkata, prospek sektor utiliti kekal positif disokong pengembangan kapasiti penjanaan, peningkatan pelaburan grid serta pertumbuhan tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

Firma penyelidikan itu berkata kesimpulan itu diperoleh daripada maklumat sempena perhimpunan Energy Regulatory Insights 2026 baru-baru ini, sekali gus mengukuhkan pandangan positif terhadap sektor utiliti.

 

Menurut firma itu lagi, pendirian Overweight terhadap sektor utiliti dikekalkan berdasarkan empat pemacu utama, iaitu keperluan tinggi antara permintaan dan bekalan dalam pasaran penjanaan yang mendorong pembangunan kapasiti gas baharu, pelaksanaan RE pada tahap tertinggi, pengembangan perbelanjaan modal grid serta pengembangan infrastruktur bekalan gas.

 

Antara pilihan utama sektor ialah Tenaga Nasional Bhd (TNB) dengan saranan Beli dan harga sasaran (TP) RM18.00, Samaiden Group Bhd (Samaiden) (Beli, TP RM2.38), Malakoff Corporation Bhd (Malakof) (Beli, TP RM1.26) dan Ranhill Utilities Bhd (RANHILL) (Beli, TP RM3.26). - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved