Suspek bunuh wanita warga emas dipercayai mabuk, ada rekod rawatan psikiatri - Polis

LocalPolitics
6 May 2026 • 12:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Suspek bunuh wanita warga emas dipercayai mabuk,  ada rekod rawatan psikiatri - Polis
Suspek kes bunuh wanita warga emas ditemukan dengan beberapa kesan tetakan di sebuah rumah di Persiaran Pegoh Aman 2, Taman Desa Aman, Ipoh, semalam, dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.

SERI ISKANDAR - Suspek kes bunuh wanita warga emas ditemukan dengan beberapa kesan tetakan di sebuah rumah di Persiaran Pegoh Aman 2, Taman Desa Aman, Ipoh, semalam, dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.

Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin berkata, beberapa tin bir turut ditemukan semasa suspek lelaki berusia 52 tahun itu ditahan di lokasi kejadian.

"Motif kejadian masih dalam siasatan dan saya dimaklumkan walaupun suspek dan mangsa berjiran, mereka dipercayai tidak mengenali antara satu sama lain kerana tinggal di lorong berbeza.

"Suspek juga difahamkan pernah mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjong Rambutan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran ‘Module On The Current Trends of Commercial Crimes’ di Dewan Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP), di sini pada Selasa.

Sementara itu, Noor Hisam turut menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil membantu pihak polis menyelesaikan kes berkenaan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah dilaporkan berkata, mangsa berusia 70 tahun itu ditemukan dalam keadaan terbaring dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dengan kejadian dipercayai berlaku antara pukul 4.45 petang hingga 10 malam. - Bernama