Suspek dah lama beli tiga senjata termasuk pisau, kerambit secara ‘online’ – Polis

LocalPolitics
15 Oct 2025 • 5:41 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

SHAH ALAM – Polis mengesahkan tiga senjata yang dibawa pelajar lelaki dalam kejadian tikaman maut di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama baru-baru ini dibeli secara dalam talian.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, senjata berkenaan terdiri daripada dua bilah pisau dan satu kerambit yang dipercayai dibeli suspek dalam tempoh yang agak lama.

“Siasatan mendapati suspek membeli senjata itu secara dalam talian untuk tempoh yang lama. Malah siasatan menunjukkan bahawa tiada pemeriksaan dilakukan di sekolah sehingga suspek berjaya membawa senjata-senjata berbahaya itu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut beliau, semua senjata tersebut telah berjaya dirampas daripada suspek sejurus selepas kejadian berkenaan.

Tambahnya, hasil siasatan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod disiplin sepanjang menuntut di sekolah itu, malah mempunyai seorang abang yang turut bersekolah di tempat sama.

“Hasil ujian saringan air kencing suspek juga didapati negatif dadah. Suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

View Original Article