
PETALING JAYA: Polis menemui dua senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian tikam membawa maut terhadap seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah di sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat menyatakan mangsa ditemui maut berhampiran kawasan tandas sekolah dengan beberapa kesan tikaman pada badan.
Beliau mengesahkan suspek merupakan seorang pelajar lelaki berumur 14 tahun dari sekolah sama yang telah ditahan di tempat kejadian untuk siasatan.
“Motif kejadian masih dalam siasatan namun siasatan awal tidak menemui unsur buli dengan mangsa dan suspek dipercayai saling mengenali,“ katanya.
Shamsudin memberitahu polis menerima makluman pada pukul 9.40 pagi selepas kejadian disedari guru yang mendengar jeritan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk membunuh dengan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok untuk reman.
Mayat mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian sebenar.
Polis sedang merekodkan keterangan saksi termasuk rakan mangsa dan guru untuk melengkapkan siasatan kes tersebut. – Bernama

