Suspek kes bakar al-Quran ditahan di Chow Kit

25 Aug 2026 • 1:08 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Suspek kes bakar al-Quran ditahan di Chow Kit

SEREMBAN: Seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan selepas dipercayai mempunyai kaitan dengan kes penemuan beberapa helaian al-Quran terbakar di tepi padang di Taman Bandar Senawang, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, suspek ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Chow Kit, Kuala Lumpur kira-kira pukul 9.30 malam semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di bilik yang didiami suspek menemukan dua beg bagasi dan sebuah beg galas yang mengandungi keseluruhan 16 naskhah al-Quran.

“Polis turut merampas tiga telefon bimbit serta beberapa barangan peribadi milik suspek termasuk pakaian bagi membantu siasatan.

“Semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan baru dua bulan tamat menjalani Perintah Pengawasan Polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua naskhah al-Quran yang ditemukan dalam beg milik suspek dipercayai dibawa keluar tanpa izin dari masjid dan surau di sekitar kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur.

“Polis juga tidak menolak kemungkinan beberapa naskhah berkenaan diambil dari salah sebuah universiti di utara tanah air berdasarkan penemuan cop hak milik universiti berkenaan,” katanya.

Alzafny berkata, polis turut menjalankan pemeriksaan di rumah keluarga suspek di Senawang pada hari sama dan menemukan 36 kulit al-Quran di dalam bilik tempat tinggalnya.

“Kesemua kulit al-Quran itu dirampas dan polis percaya penemuan berkenaan mempunyai kaitan dengan kes pembakaran al-Quran di tepi padang bola sepak Taman Bandar Senawang pada 22 Ogos lalu,” katanya.

Beliau berkata, polis sebelum itu menerima panggilan orang awam kira-kira pukul 10.22 pagi, 22 Ogos lalu memaklumkan berlaku kebakaran kecil di kawasan tepi padang berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati kebakaran itu melibatkan beberapa naskhah al-Quran sebelum satu laporan polis dibuat oleh anggota bertugas di bilik gerakan sebagai maklumat pertama berhubung kejadian.

“Pada hari sama, kira-kira pukul 5.45 petang, polis turut menerima laporan berkaitan kejadian kecurian al-Quran di sebuah masjid di kawasan Forest Heights, Seremban,” katanya.

Beliau berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban bagi permohonan reman untuk membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 380/295 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

The post Suspek kes bakar al-Quran ditahan di Chow Kit appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved