
GEORGE TOWN – Polis giat menjalankan siasatan kes kehilangan seorang guru di sebuah Sekolah Agama Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Mohamad Hijazi Zamri, 26, yang dilaporkan tidak pulang ke rumahnya, sejak Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, siasatan lanjut dan usaha mengesan orang hilang tersebut sedang dijalankan.
“Dalam masa sama, pihak polis turut meneliti sebarang maklumat yang disebarkan berkaitan kes ini.
“Penyebaran maklumat yang tidak sahih juga boleh menjejaskan dan mengganggu siasatan polis yang sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Justeru katanya lagi, sebarang maklumat berkaitan keberadaan orang hilang berkenaan boleh disalurkan terus kepada polis di talian 04-8662222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Hari ini, tular poster berhubung situasi terkini Mohamad Hijazi yang dimuat naik pengguna di status WhatsApp dengan masing-masing mendoakan keselamatan buat pemuda itu.
Bagaimanapun, kehilangan Mohamad Hijazi masih menimbulkan tanda tanya dan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga termasuk orang ramai yang mengikuti perkembangan kes tersebut.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan mengenai kehilangan Mohamad Hijazi sejurus keluar menunaikan solat Isyak di Surau Al-Muttaqin, Sungai Ara di sini, Sabtu lalu.
Anak sulung daripada tujuh beradik itu keluar dari rumahnya dengan menunggang motosikal Yamaha LC berwarna biru, selain memakai baju-T lengan panjang berwarna hitam dan jingga serta seluar trek hitam. – KOSMO! ONLINE
The post Sudah empat hari, di mana Mohamad Hijazi? appeared first on Kosmo Digital.






