Suspek Kes Bunuh Peniaga Makanan Direman Seminggu Untuk Siasatan

LocalPolitics
15 Feb 2025 • 4:02 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan Norshamira Zainal, 37, seorang peniaga makanan yang mayatnya ditemui di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur pada Khamis lalu, telah direman selama tujuh hari.

Difahamkan, perintah tahanan reman ini bermula Sabtu dan akan berakhir pada 21 Februari depan.

Majistret Nor Izzati Zakaria mengeluarkan perintah tersebut selepas pihak polis mengemukakan permohonan bagi melanjutkan siasatan, lapor Sinar Harian.

Lelaki berusia 53 tahun itu kini ditahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki terlibat dalam kes bunuh.

Ketika dibawa keluar dari lokap sekitar jam 2.30 petang, suspek dilihat mengenakan kemeja-T serta berkain pelekat dan diiringi oleh anggota polis.

image is not available
Allahyarhamah Norshamira Zainal

Sebelum itu, polis berjaya menjejaki dan menahan suspek yang merupakan seorang penganggur di sebuah rumah di kawasan perumahan Wakaf Tembesu, Gong Badak, Kuala Terengganu sekitar jam 5.30 pagi pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, tangkapan tersebut dilakukan oleh pasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Pahang dan Terengganu.

Dalam siasatan susulan, pihak berkuasa turut menemui serta merampas beberapa barang yang dipercayai berkaitan dengan kes tersebut, termasuk sebentuk cincin, sejumlah wang tunai, pakaian dan beberapa dokumen penting.

Kredit: Sinar Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.