Suspek larikan senjata api ketika cubaan samun van keselamatan direman enam hari

25 Jul 2026 • 1:11 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Suspek larikan senjata api ketika cubaan samun van keselamatan direman enam hari

SHAH ALAM, 25 JULAI: Lelaki yang melarikan senjata api jenis pump gun ketika cubaan menyamun sebuah van syarikat keselamatan di hadapan sebuah bank di Bukit Tinggi, di sini, Isnin lalu direman enam hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata permohonan reman terhadap suspek warga tempatan berusia lingkungan 20-an itu dibuat di Mahkamah Klang semalam.

Beliau berkata mahkamah membenarkan tempoh reman sehingga 29 Julai ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

"Mahkamah membenarkan tempoh reman ke atas suspek selama enam hari sehingga 29 Julai depan. Siasatan lanjut berhubung kes itu masih sedang dijalankan," katanya hari ini, lapor Kosmo! Online.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar mengesahkan suspek diberkas menerusi operasi khas Bahagian D9 di Shah Alam kira-kira jam 11 pagi kelmarin.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas semula selaras pump gun jenama Mossberg bersama sebutir peluru 12 bore yang dipercayai dilarikan ketika kejadian.

Polis juga menemui sepucuk pistol pelepas olahraga jenama Ekol Lite bersama 48 butir peluru blank dalam operasi berkenaan.

Sebelum ini media melaporkan cubaan samun itu berlaku di hadapan sebuah bank di Bukit Tinggi membabitkan sebuah van syarikat keselamatan.

Dalam kejadian tersebut, suspek dipercayai cuba melarikan wang tunai berjumlah RM82,000 yang dibawa van berkenaan.

Bagaimanapun, tindakan pantas petugas syarikat keselamatan menutup pintu van berjaya menggagalkan cubaan samun itu sebelum suspek melarikan diri.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved