
TAWAU: Seorang bekas pekerja ladang yang disyaki menjadi ‘runner’ membawa dadah dari Kota Kinabalu ke Tawau, diberkas polis di kawasan kebun sawit di Jalan Air Panas Tiku bersama 2.1 kilogram (kg) syabu, sekitar jam 2.30 petang 26 Feb lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, warga asing berusia 54 tahun itu ditangkap ketika dipercayai sedang menunggu pelanggan di kawasan terbabit.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek menaiki bas dari ibu negeri ke Tawau dan akan menggunakan perkhidmatan kenderaan e-hailing untuk menjalankan kegiatannya (bertemu pelanggan) bagi mengelak dikesan polis.
Bagaimanapun, lelaki berkenaan ditangkap ketika serbuan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, selepas dilihat mencurigakan di kawasan itu.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek, polis menemui sejumlah 2,101.50 gram dadah dianggarkan bernilai RM120,000 yang disimpan di dalam dua paket plastik warna kecemasan bertulis Guanyinwang,” katanya dalam sidang media di IPD Tawau, pada Selasa.
Jasmin berkata, dadah yang dirampas dibawa masuk ke daerah ini untuk pasaran tempatan dan pihaknya masih menyiasat penglibatan suspek serta sedang mengesan rangkaian pengedaran dadah tersebut.
Katanya, semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan saringan ujian air kencingnya negatif.
Menurutnya, suspek kini ditahan reman sehingga 6 Mac ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah.


