KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan dipercayai terbabit dalam kejadian samun berkumpulan di sebuah unit kondominium di Chan Sow Lin di sini, pada Mac 2024, ditahan polis pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, tangkapan suspek berusia lewat 20-an itu dilakukan hasil maklumat serta risikan berterusan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
"Suspek ditahan kira-kira jam 12 tengah hari di tepi Jalan Sungai Jelok Kajang Selangor.
“Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas sehelai seluar jeans dan sepasang kasut yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohd Rusdi berkata, suspek kini direman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga Jumaat bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," ujarnya.






