15 hari hilang di Gunung Batu Putih, Jaslinda kongsi detik cemas, bergelut waktu malam: 'Saya jatuh berkali-kali...'

LocalTravel
6 Jun 2026 • 9:49 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 15 hari hilang di Gunung Batu Putih, Jaslinda kongsi detik cemas, bergelut waktu malam: 'Saya jatuh berkali-kali...'

BAYANGKAN terpaksa berdepan dengan malam yang gelap gelita, sejuk mencengkam tulang, dan bersendirian di dalam hutan tebal selama 15 hari.

Itulah ujian getir yang terpaksa dilalui oleh seorang pendaki kental, Jaslinda Saludin, 49, selepas dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi di Gunung Batu Putih baru-baru ini.

Kisah kehilangannya yang berakhir dengan khabar gembira ini benar-benar menyentuh hati netizen selepas sebuah klip video memaparkan keadaan terbaharunya tular di media sosial.

Dalam perkongsian santai namun penuh emosi menerusi laman Facebook Tapah Media, wanita tabah ini dilihat sedang menikmati hidangan dengan penuh selera di sebuah rumah kampung di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, yang terletak di sepanjang laluan Jalan Tapah-Cameron Highlands.

Sambil dikelilingi penduduk tempatan yang menyelamatkannya, beliau sempat membuka cerita tentang kepayahan yang dilaluinya sepanjang tempoh 'berkampung' di dalam hutan rimba itu.

Image from: 15 hari hilang di Gunung Batu Putih, Jaslinda kongsi detik cemas, bergelut waktu malam: 'Saya jatuh berkali-kali...'

"Saya jatuh berkali-kali, saya bergelut pada waktu malam," luah Jaslinda ringkas, menceritakan detik-detik sukar yang menguji ketahanan mental dan fizikalnya demi kelangsungan hidup.

Sorotan video tersebut turut dihujani dengan ucapan kesyukuran daripada masyarakat yang tidak putus-putus mendoakan keselamatannya sejak hari pertama dilaporkan hilang.

Kegembiraan jelas terpancar bukan sahaja pada wajah Jaslinda yang ditemui selamat oleh penduduk kampung Orang Asli sekitar jam 3 petang, malah seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan kes ini menarik nafas lega.

Sebelum insiden cemas itu berlaku, Jaslinda merupakan sebahagian daripada 14 pendaki dan dua malim gunung yang menyertai ekspedisi mencabar Trans Spencer Chapman bermula 23 Mei lalu. Malangnya, dia dan seorang lagi rakan pendaki dilaporkan mengalami masalah kesihatan di pertengahan jalan.

Walaupun pada awalnya dinasihatkan untuk menghentikan pendakian, eksekutif rantaian bekalan sektor swasta ini nekad meneruskan perjalanan ke puncak gunung sebelum kelibatnya kali terakhir dilihat pada 24 Mei.

Di sebalik segala trauma yang dilalui, kepulangan Jaslinda ke pangkuan keluarga dianggap satu keajaiban yang membuktikan kekuatan semangat seorang wanita.

Sumber: Sinar  Harian