
JOHOR BAHRU: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor telah membuka kertas siasatan berhubung kegiatan pembakaran secara terbuka melibatkan sebuah premis barangan lusuh di Jalan Kempas Lama-Seelong, di sini hari ini.
Pengarahnya, Zainal Fitri Ahmad berkata, kertas siasatan itu dibuat mengikut Seksyen Seksyen 75 Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Katanya, siasatan terhadap premis itu dibuat kerana didapati gagal mematuhi notis untuk menghantar sisa pepejal terkawal ke tapak pelupusan.
“Kertas siasatan telah dibuka, dan semua bahan bukti berkaitan telah diambil hari ini. Apabila selesai kertas siasatan ini akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pendakwaan di mahkamah.
“Jika didapati bersalah, pihak berkenaan boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Tambah Zainal Fitri, pihaknya telah menyerahkan Notis Pengalihan kepada penyewa premis yang menjalankan operasi tersebut pada 18 Mei lalu, dengan memberikan tempoh dua minggu untuk kerja-kerja pembersihan dibuat.
“Bagaimanapun lawatan ke lokasi pada Isnin lalu mendapati kawasan tersebut masih belum dibersihkan sepenuhnya, walaupun amaran tegas telah diberikan pihak berkuasa,” katanya.
Semalam, Ketua Kampung Sri Aman, Rafizal Ahmad Razi, 47, dilaporkan berkata pembakaran terbuka tersebut membincangkan lebih 10,000 penduduk di empat perkampungan kerana ia dilakukan pada jarak 12 meter daripada sebuah saluran paip gas berhampiran.
“Penduduk bimbang jika pembakaran terbuka di premis berkenaan menyebabkan berlakunya letupan seperti di Putra Heights, Shah Alam.
“Jika berlaku letupan, bukan satu kawasan sahaja yang terjejas tetapi boleh merebak ke kampung lain. Itu kebimbangan utama kami kerana jaraknya dekat dengan saluran paip gas,” katanya.-UTUSAN.
The post SWCorp siasat premis lakukan pembakaran terbuka berhampiran paip gas appeared first on Utusan Malaysia.






