
NEW YORK: Iga Swiatek meneruskan pemburuan gelaran Terbuka Amerika Syarikat (AS) keduanya apabila menewaskan Maria Bouzkova 7-6 (7-3), 7-6 (7-3) untuk mara ke pusingan keempat, namun kini berdepan ujian lebih getir menentang, juara Olimpik, Zheng Qinwen.
Pemain pilihan kelapan dari Poland itu terpaksa bekerja keras dalam perlawanan sengit apabila Bouzkova, pilihan ke-25, terlebih dahulu mematahkan servisnya dalam kedua-dua set sebelum Swiatek menguasai dua tie-break untuk melengkapkan kemenangan.
“Memang perlawanan yang sangat sukar kerana ia sangat fizikal dengan banyak rali panjang dan saya terpaksa menyerang berkali-kali kerana Bouzkova bertahan dengan sangat baik serta berjaya mengembalikan hampir setiap bola.
“Dengan keadaan berangin juga terdapat beberapa kesilapan tidak dipaksa yang agak mengejutkan, tetapi saya gembira dengan perkembangan permainan saya ketika ini,” katanya.
Swiatek yang pernah menduduki ranking No.1 dunia mula menunjukkan semula keyakinannya selepas mara ke final pertamanya musim ini dan kemudian menjuarai kejohanan di Toronto sebelum gagal mempertahankan gelaran di Cincinnati.
“Dari segi keyakinan, saya gembira dengan kemajuan yang saya tunjukkan kerana lebih menyeronokkan apabila dapat bermain tenis mengikut cara yang saya mahu dan sepatutnya,” katanya.
Dalam pada itu, Swiatek bakal berdepan Qinwen yang mencipta kebangkitan luar biasa apabila pemain China itu menyelamatkan satu mata perlawanan sebelum menewaskan Madison Keys 1-6, 7-6 (7-3), 7-5 selepas memenangi tujuh permainan terakhir.
Qinwen yang kini menghuni ranking ke-121 dunia terpaksa melalui pusingan kelayakan selepas kedudukannya merosot susulan tempoh pemulihan lebih panjang daripada dijangka akibat pembedahan siku, namun kemenangan itu membolehkannya mara ke minggu kedua Grand Slam buat kali pertama dalam kejohanan ini.
Dalam aksi wanita lain, Coco Gauff menewaskan Cristina Bucsa 6-3, 6-4 untuk mara ke pusingan keempat dan bakal berdepan cabaran Anastasia Potapova yang menewaskan finalis 2025, Amanda Anisimova 6-2, 7-5, manakala juara Terbuka Perancis, Mirra Andreeva turut mara selepas mengatasi Nikola Bartunkova 6-2, 7-6 (7-5). – AGENSI
The post Swiatek, Qinwen rebut slot suku akhir appeared first on Utusan Malaysia.


