Syarat 30% ekuiti Bumiputera IPS dimansuh: MITI nafi terlibat keputusan Kementerian Pendidikan

LocalPolitics
22 Sep 2026 • 1:11 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Syarat 30% ekuiti Bumiputera IPS dimansuh: MITI nafi terlibat keputusan Kementerian Pendidikan Image from: Syarat 30% ekuiti Bumiputera IPS dimansuh: MITI nafi terlibat keputusan Kementerian Pendidikan hamden22/09/2026 - 13:11 Gambar janaan AI Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Sept - Kenyataan Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai pemansuhan syarat sekurang-kurangnya 30% ekuiti Bumiputera bagi syarikat yang mengendalikan institusi pendidikan swasta (IPS) mencetuskan persoalan apabila Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) tampil menyatakan pihaknya tidak mempunyai makluman mengenai perkara itu.

 

Percanggahan kenyataan itu berlaku sehari selepas KPM mengumumkan bahawa syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30% ekuiti Bumiputera tidak lagi ditetapkan bagi syarikat sendirian berhad yang mengoperasikan IPS di bawah kementerian berkenaan.

 

Lebih menarik, KPM dalam kenyataannya pada 21 September 2026 menyatakan penyelarasan itu dibuat susulan sesi perbincangan antara KPM dan MITI, sebelum kementerian tersebut bersetuju bahawa syarat berkenaan tidak lagi ditetapkan.

 

 

 

 

 

 

 

Bagaimanapun, MITI dalam kenyataan hari ini menjelaskan pihaknya tidak mempunyai makluman mengenai perkara tersebut.

 

"Untuk penjelasan, perkara berkaitan dasar pemilikan ekuiti Bumiputera adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi (EPU).   

 

"MITI berharap penjelasan ini dapat membantu memperbetul peranan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dalam perkara ini supaya maklumat yang disampaikan kepada pihak awam adalah tepat dan jelas," kata kenyataan itu.

 

FB MITI

 

KPM: Syarat 30% tidak lagi ditetapkan

Dalam kenyataan pada Isnin, KPM berkata pihaknya mengambil maklum pandangan yang dibangkitkan berhubung syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30% ekuiti Bumiputera bagi IPS tertentu yang dimiliki melalui syarikat sendirian berhad, seperti dinyatakan dalam Buku Pernyataan Dasar IPS yang diterbitkan pada 2006.

 

KPM kemudian berkata, hasil perbincangan dengan MITI, pihaknya bersetuju syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30% ekuiti Bumiputera tidak lagi ditetapkan sebagai syarat bagi syarikat sendirian berhad yang mengoperasikan IPS di bawah KPM.

 

 

 

 

 

Menurut KPM, penyelarasan itu dibuat bagi memenuhi keperluan semasa sektor pendidikan serta memastikan ruang penyertaan dalam pendidikan kekal terbuka kepada semua pihak yang mahu menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara.

 

KPM turut menyatakan penghargaan terhadap sumbangan semua pengusaha IPS dan akan terus bekerjasama dengan semua pihak demi kepentingan pendidikan anak-anak Malaysia. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved