Syarat cagaran tradisional bank kekang pembiayaan PKS

Business & Finance
11 Nov 2026 • 4:32 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Syarat cagaran tradisional bank kekang pembiayaan PKS

KUALA LUMPUR: Kebergantungan institusi perbankan terhadap cagaran konvensional seperti tanah dan bangunan menyukarkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapatkan pembiayaan, khususnya bagi syarikat yang memiliki aset tidak ketara seperti perisian dan pengetahuan teknikal.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, keperluan cagaran tradisional itu boleh merugikan firma yang mempunyai potensi pertumbuhan tetapi tidak memiliki aset fizikal mencukupi untuk memenuhi syarat pembiayaan bank.

Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan akses kepada pembiayaan sahaja tidak mencukupi sekiranya kemudahan kewangan yang disediakan tidak memenuhi keperluan pelaburan dan perkembangan perniagaan.

“Menurut laporan Pemantau Ekonomi Malaysia edisi ke-33 Bank Dunia mendapati PKS membiayai kira-kira dua pertiga daripada pelaburan aset tetap menggunakan dana dalaman.

“Pembiayaan luaran masih banyak bergantung kepada hutang bank, manakala pembiayaan ekuiti dan bentuk modal lain yang menanggung risiko masih terhad,” katanya ketika berucap pada pelancaran laporan berkenaan di sini semalam.

Aset seperti mesin, akaun belum terima, perisian dan pengetahuan teknikal semakin penting dalam ekonomi moden, namun aset berkenaan tidak semestinya diterima sebagai cagaran seperti tanah dan bangunan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, laporan itu turut menunjukkan pembiayaan bank menyumbang 28 peratus daripada pelaburan tetap firma kecil dan sederhana, berbanding sekitar 50 peratus bagi firma besar berproduktiviti tinggi.

“Perbezaan itu menunjukkan keperluan kepada mekanisme pembiayaan yang lebih sesuai dengan keperluan firma berpotensi tinggi, khususnya syarikat yang memerlukan pelaburan inovasi dan berorientasikan jangka panjang.

“Kegagalan firma produktif mendapatkan pembiayaan bersesuaian bukan sahaja menjejaskan perkembangan perniagaan, malah boleh menyebabkan Malaysia kehilangan peluang dalam bidang inovasi, pengembangan skala operasi dan pewujudan pekerjaan bernilai tinggi.

“Justeru, pembiayaan PKS perlu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda meningkatkan produktiviti negara, bukan sekadar usaha memperluas akses kepada kemudahan kredit,” tambahnya. 

Dalam perkembangan berkaitan, Akmal berkata, akses PKS kepada pembiayaan bank menunjukkan kemajuan apabila kira-kira 38 peratus firma di Malaysia mempunyai pinjaman atau kemudahan kredit, manakala kadar kelulusan pinjaman meningkat daripada sekitar 68 peratus pada 2015 kepada 86 peratus pada 2024.

Bagaimanapun, kemajuan itu perlu disusuli dengan penyediaan pembiayaan yang lebih berkualiti dan pelbagai bagi memenuhi keperluan pelaburan firma.

“Fasa seterusnya adalah mengenai kualiti, bukan sekadar kuantiti. Persoalannya ialah sama ada firma boleh mendapatkan pembiayaan yang memenuhi keperluan pelaburan mereka dan menyokong peningkatan produktiviti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian bagi Filipina, Malaysia dan Brunei, Bank Dunia, Dr. Zafer Mustafaoglu berkata, Malaysia semakin hampir mencapai status negara berpendapatan tinggi, namun PKS perlu beralih kepada aktiviti berproduktiviti tinggi, penggunaan teknologi dan inovasi.

Beliau berkata, peralihan itu memerlukan pembiayaan yang bukan sahaja tertumpu kepada modal kerja dan pelaburan asas, malah merangkumi modal pengembangan berisiko tinggi bagi membolehkan syarikat menembusi pasaran global, melaksanakan automasi serta mengguna pakai teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).

“Pembiayaan juga perlu menyokong peralihan hijau serta pelaburan yang bergantung kepada keupayaan produktif masa depan syarikat, berbanding cagaran sedia ada semata-mata.

“Persoalannya bukan sekadar sama ada PKS boleh mendapatkan kredit, tetapi sama ada pembiayaan yang tersedia benar-benar memenuhi keperluan pelaburan produktif dan inovatif mereka,” katanya. – UTUSAN

The post Syarat cagaran tradisional bank kekang pembiayaan PKS appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved