PKS perlu pembiayaan lebih berkualiti, tidak cukup sekadar dapat pinjaman – Akmal Nasrullah

LocalBusiness & Finance
11 Nov 2026 • 6:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PKS perlu pembiayaan lebih berkualiti, tidak cukup sekadar dapat pinjaman – Akmal Nasrullah Image from: PKS perlu pembiayaan lebih berkualiti, tidak cukup sekadar dapat pinjaman – Akmal Nasrullah amree11/11/2026 - 18:10 Gambar hiasan - Foto BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Nov — Kerajaan mahu memperluas kaedah pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan membolehkan aset seperti mesin dan akaun belum terima dipertimbangkan sebagai cagaran pinjaman, selain hartanah, bagi membantu lebih banyak syarikat mengembangkan perniagaan.

 

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, tumpuan kerajaan kini bukan sekadar memastikan PKS mendapat akses kepada kredit, sebaliknya meningkatkan tahap kualiti pembiayaan supaya memenuhi keperluan pelaburan, pengembangan perniagaan dan peningkatan produktiviti.

 

Beliau menambah, pembiayaan yang lebih berkesan penting untuk memperkukuh daya saing syarikat tempatan di peringkat global, sekali gus membolehkan peningkatan produktiviti diterjemahkan kepada gaji lebih tinggi dan peluang pekerjaan berkualiti.

 

Menurutnya, syarat cagaran konvensional yang lazimnya memerlukan hartanah boleh mengehadkan akses syarikat kepada pinjaman, walaupun mereka mempunyai aset lain yang berpotensi dijadikan jaminan.

 

"Justeru, kerajaan mengambil maklum saranan Bank Dunia supaya pilihan aset yang boleh diterima sebagai cagaran diperluas, selain memastikan mekanisme pembiayaan dilaksanakan secara lebih telus dan menepati keperluan setiap firma," kata Akmal Nasrullah.

 

Beliau berkata demikian pada pelancaran Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia ke-33 Bank Dunia bertajuk 'From Quantity to Quality: Financing Malaysia’s Productive SMEs' pada Rabu.

 

Akmal Nasrullah_Bernama
Gambar BERNAMA

 

Laporan itu ujarnya mendapati kira-kira 38% syarikat PKS di Malaysia mempunyai pinjaman atau kemudahan kredit, manakala kadar kelulusan pinjaman meningkat daripada sekitar 68% pada 2015 kepada 86% pada 2024.

 

Bagaimanapun, PKS masih membiayai kira-kira dua pertiga daripada pelaburan aset tetap menggunakan dana dalaman, sementara pembiayaan luaran pula banyak bergantung kepada pinjaman bank dengan akses terhad kepada ekuiti dan bentuk modal berisiko lain.

 

"Bank Dunia turut memberi amaran bahawa kekangan pembiayaan boleh menjejaskan keupayaan syarikat berkenaan melabur dalam inovasi, meningkatkan produktiviti dan mengembangkan operasi perniagaan," jelasnya.

 

Tambah Akmal Nasrullah, usaha kerajaan mempertingkat kualiti pembiayaan itu selari dengan aspirasi menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), khususnya dalam meningkatkan produktiviti serta memperkukuh daya saing ekonomi negara.

 

Beliau berkata, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan apabila berkembang 6.0% pada suku kedua 2026, manakala anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan pertumbuhan 5.3% pada suku ketiga.

 

Bank Dunia turut menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2026 kepada 5.1%, iaitu peningkatan 0.7 mata peratusan berbanding unjuran terdahulu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved