amree06/11/2026 - 11:10 Gambar hiasan - BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Nov – Kerajaan memberi kelonggaran secara bersyarat terhadap eksport bahan mentah unsur nadir bumi (REE) bagi menarik pelaburan baharu, namun syarikat yang menerima kelulusan perlu menunjukkan komitmen membangunkan fasiliti pemprosesan di Malaysia dalam tempoh tiga tahun.
Langkah itu ujar Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), dilaksanakan menerusi Garis Panduan Eksport Bersyarat Unsur REE bagi menangani kebimbangan bakal pelabur dilihat masih keberatan melabur berikutan ketiadaan jaminan bekalan bahan mentah REE domestik yang stabil.
Tambah kementerian tersebut, kelonggaran yang diberikan berkenaan bagaimanapun masih lagi terhad secara khusus untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta bukannya membuka ruang eksport bahan mentah REE secara bebas ke seluruh dunia tanpa langsung ada sebarang kawalan.
"Syarikat berkaitan itu juga perlu membuktikan komitmen jelas mereka untuk bekerjasama dengan ada membangunkan kemudahan pemprosesan REE di Malaysia sendiri dalam tempoh tiga tahun dari tarikh kelulusan eksport diberikan pihak berkuasa," tegasnya.
MITI menjelaskan perkara itu dalam jawapan kepada soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) berhubung pendirian tegas kerajaan terhadap perjanjian pembekalan oksida nadir bumi bernilai AS$96 juta (RM389 juta) antara Lynas dan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS).

Menurut kementerian berkenaan, strategi kerajaan pada ketika ini adalah lebih memberi tumpuan kepada usaha menarik banyak pelaburan domestik dan antarabangsa bagi mereka membangunkan serta memperkukuh segmen pertengahan dan hiliran industri REE di dalam negara ini.
Ujarnya, tumpuan secara khusus turut diberikan kepada pemain sektor pembuatan berteknologi tinggi termasuk pengeluaran magnet kekal, bahan termaju, komponen elektronik dan bateri yang mempunyai potensi lebih besar dalam rantaian bekalan industri global.
"Bagi merealisasikan pembangunan industri REE negara, Malaysia perlu memanfaatkan kerjasama strategik serta pemindahan teknologi daripada pemain tempatan dan negara rakan yang mempunyai kepakaran dalam pemprosesan unsur nadir bumi," jelas MITI lagi.
Pendekatan itu juga bertujuan memperkukuh keupayaan tempatan merangkumi keseluruhan rantaian nilai industri, bermula daripada aktiviti perlombongan sehingga penghasilan produk akhir.
Kementerian tersebut berkata, pembangunan keupayaan berkenaan adalah penting bagi memastikan Malaysia bukan sekadar menjadi pembekal bahan mentah, sebaliknya berupaya mengembangkan aktiviti pemprosesan dan pembuatan produk bernilai tambah tinggi.
Pada masa sama, kerajaan mahu inisiatif itu meletakkan Malaysia sebagai antara pemain penting dalam rantaian bekalan global bagi mineral kritikal, sekali gus membuka peluang menarik lebih banyak pelaburan berkaitan teknologi dan pembuatan termaju. - DagangNews.com





