Syarikat buka klinik estetik tidak berdaftar didenda RM30,000

LocalHealth & Fitness
27 Nov 2026 • 4:21 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Syarikat buka klinik estetik tidak berdaftar didenda RM30,000

Kota Kinabalu: Sebuah syarikat didenda RM30,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda kerana menubuhkan klinik estetik tanpa pendaftaran sah.

Hakim Mahkamah Sesyen, Marlina Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Katalina Aesthetic & Wellness Sdn Bhd selepas pengarahnya mengaku bersalah bagi pihak syarikat berkenaan pada Khamis.

Syarikat itu didapati menubuhkan sebuah klinik perubatan swasta dikenali sebagai Katalina Aesthetic & Wellness tanpa mendaftarkannya mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 11.40 pagi pada 24 Oktober 2019 di Aeropod berhampiran Jalan Kepayan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(1)(b) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 jika sabit kesalahan.

Ketika rayuan hukuman, peguam Mohamad Syazwan Shah Mohamad Ali yang mewakili syarikat memohon supaya mahkamah mengenakan denda minimum.

Bagaimanapun Pegawai Pendakwa, Nozaizeli Abu Samah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang sewajarnya.

Mahkamah diberitahu bahawa sepasukan pegawai daripada Bahagian Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menyerbu premis berkenaan pada 24 Oktober 2019.

Ketika pemeriksaan, dua pekerja yang bertugas di kaunter gagal mengemukakan sijil pendaftaran klinik atau lesen kemudahan serta perkhidmatan jagaan kesihatan swasta apabila diminta berbuat demikian.

Selain kedua-dua pekerja itu, seorang pelanggan turut berada di premis berkenaan ketika pemeriksaan dijalankan.

Beberapa dokumen, ubat-ubatan dan mesin turut dirampas dalam serbuan itu.

Siasatan mendapati premis berkenaan dikendalikan seorang doktor yang juga merupakan pengarah syarikat terbabit.

Majlis Perubatan Malaysia (MMC) mengesahkan doktor itu berdaftar sepenuhnya dengan majlis berkenaan dan memiliki sijil amalan bagi 2019.

Bagaimanapun siasatan lanjut mendapati premis itu tidak berdaftar sebagai klinik perubatan swasta ketika serbuan dijalankan.

Perkara itu disahkan melalui surat bertarikh 20 November 2019 daripada Bahagian Amalan Perubatan, Kementerian Kesihatan yang menyatakan premis berkenaan tidak mempunyai sijil pendaftaran, sijil kelulusan dan/atau lesen mengikut Akta 586.

Syarikat berkenaan telah menjelaskan bayaran denda yang dikenakan mahkamah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved