Sekatan ekonomi dan perdagangan yang dikenakan ke atas syarikat-syarikat teknologi China telah memaksa negara tersebut untuk berfikir di luar kotak tentang bagaimana untuk mempercepatkan pembangunan teknologi mereka.
Dari menyeludup komponen melalui Singapura dan Malaysia ke mencuri pekerja daripada syarikat-syarikat pembangun dan pengeluar cip pemprosesan yang lain, syarikat-syarikat negara tersebut telah melakukan segala yang mungkin untuk bukan sahaja mengelak sekatan tersebut, tetapi juga untuk memajukan teknologi, khususnya dalam segmen AI.
Terkini, ia telah dilaporkan bahawa empat pekerja dari sebuah pembangun teknologi AI dari China telah “menyeludup” masuk sebanyak 15 buah cakera keras yang mana setiap satu daripadanya mengandungi 80TB data yang bertujuan untuk melatih sistem AI dari negara tersebut menggunakan mesin-mesin pelayan yang disewa di Kuala Lumpur.

Laporan daripada Wall Street Journal juga mengatakan bahawa perkara ini telah dirancang untuk beberapa bulan, dan bagi syarikat tersebut, ia adalah lebih cepat untuk menerbangkan sahaja cakera-cakera keras ini ke Malaysia daripada menghantar data tersebut ke mesin pelayan di sini melalui sambungan internet.
Empat pekerja diterbangkan ke Malaysia untuk memudahkan mereka membawa masuk cakera keras tersebut dan tidak meningkatkan syak wasangka pihak Imigresen Malaysia tentang mengapa begitu banyak komponen komputer dibawa masuk ke negara ini.
Individu-individu ini kemudiannya ke sebuah syarikat pusat data tempatan, yang mana syarikat AI dari China tersebut sudahpun menyewa 300 mesin pelayan AI yang dikuasakan oleh cip pemprosesan AI NVIDIA untuk tujuan melatih sistem pembelajaran mesin dan AI.
Penyewaan mesin pelayan dan kapasiti pusat data oleh syarikat-syarikat China nampaknya bukanlah sesuatu yang diharamkan. Cuma isunya di sini oleh kerana sekatan perdagangan dan import/eksport yang dilakukan oleh China, ini boleh dilihat sebagai satu cara untuk syarikat tersebut mengelak sekatan tersebut dan menggunakan komponen-komponen AI yang tidak dibenarkan untuk digunakan oleh mereka.


