
Syarikat HP Bakal Hentikan Ribuan Pekerja Seluruh Dunia
Syarikat pembuat komputer dan pencetak, HP mengumumkan bakal mengurangkan kira-kira 10 peratus tenaga kerjanya di seluruh dunia pada Selasa lalu.
Menurut AFP, langkah itu dibuat seiring usaha syarikat beralih kepada teknologi kepintaran buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan operasi.
Menurut laporan pendapatan terbaharunya, gergasi teknologi itu menjangkakan untuk mengurangkan jumlah pekerja global antara 4,000 hingga 6,000 orang bagi memberi tumpuan kepada penggunaan AI untuk meningkatkan inovasi dan kepuasan pelanggan.
Langkah HP mencerminkan trend meluas dalam sektor teknologi, di mana syarikat-syarikat membuat pelaburan besar dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI) sambil menggunakan teknologi itu untuk menurunkan kos operasi.
Syarikat teknologi utama termasuk Google, Microsoft dan Amazon telah mengumumkan pengurangan tenaga kerja dalam dua tahun kebelakangan ini, dengan menyatakan keperluan untuk mengagihkan semula sumber, termasuk pekerjaan ke arah penggunaan AI.
Penganalisis industri berkata, automasi berasaskan AI memberi kesan khususnya kepada peranan dalam sokongan pelanggan, pengawasan kandungan, kemasukan data hserta beberapa tugas pengaturcaraan komputer tertentu.
Menurut HP, pelan AI menyasarkan untuk menjana kira-kira AS$1 bilion (kira-kira RM4.13 bilion) dalam penjimatan tahunan menjelang akhir tahun fiskal 2028.
AFP melaporkan bahawa syarikat itu telah berusaha mengubah model perniagaannya di tengah-tengah perubahan corak permintaan dalam pasaran komputer peribadi dan pencetak.
Ketua Pegawai Eksekutif HP, Enrique Lores memberitahu akhbar Wall Street Journal bahawa pihaknya merancang untuk menaikkan harga komputer dan bekerjasama dengan pembekal baharu bagi membantu menampung kos lebih tinggi bagi pengkomputeran AI.
Dalam suku terbarunya, HP mencatat keuntungan sebanyak AS$795 juta (kira-kira RM3.3 bilion) berbanding AS$906 juta (kira-kira RM3.7 bilion) pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Hasil HP meningkat 4.2 peratus kepada AS$14.64 bilion (RM60 bilion) melebihi anggaran penganalisis, malah peningkatan itu didorong oleh jualan komputer peribadi yang mengimbangi penurunan dalam jualan pencetak.
BACA: Bangunan Kediaman Hong Kong: Angka Korban Meningkat Kepada 44 Orang, 3 Ditahan Polis
BACA: “Boleh Rosakkan…” Mat Saleh Kongsi Pengalaman, Dedah Sebab Tak Perlu Lawat Malaysia
Sumber: AFP
The post Syarikat HP Bakal Hentikan Ribuan Pekerja Seluruh Dunia appeared first on Siakap Keli.



