Syarikat penguji semikonduktor Korea Selatan labur RM204 juta di Perak

LocalBusiness & Finance
31 Jul 2026 • 10:14 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Syarikat penguji semikonduktor Korea Selatan labur RM204 juta di Perak

BATU GAJAH – Pembukaan kilang pertama syarikat pakar pengujian semikonduktor dari Korea Selatan, K-Test Co. Ltd. (K-Test) di Perak dengan nilai pelaburan kira-kira RM204 juta (AS$50 juta) akan memperkukuh ekosistem industri elektrik dan elektronik (E&E) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, pelaburan itu sekali gus bakal merangsang pertumbuhan sektor pembuatan berteknologi tinggi di sini.

Beliau berkata, antara faktor K-Test memilih negeri ini sebagai destinasi pelaburan adalah kestabilan tenaga kerja berbanding kawasan lain di utara Semenanjung.

“Kadar pertukaran pekerja antara syarikat di negeri ini juga adalah lebih rendah, sekali gus membolehkan syarikat mengekalkan tenaga kerja dengan lebih stabil,” katanya semalam ketika menghadiri majlis pecah tanah kemudahan baharu K-Test Malaysia di Pusing.

Kemudahan itu berkenaan dijangka siap pada suku pertama tahun hadapan.

Mengulas lanjut, Sze Yee berkata, K-Test terlibat dalam pengujian dan pemasangan penyumberan luar (OSAT) yang lebih kepada aktiviti hiliran semikonduktor.

“Kami berbangga kerana ini merupakan syarikat Korea Selatan pertama yang berjaya ditarik (untuk melabur) dan lebih penting lagi ialah projek ini melibat sektor semikonduktor.

“K-Test akan menjalankan aktiviti OSAT untuk semua pelanggan mereka bukan sahaja di Malaysia tetapi juga dari Taiwan, Korea dan pelbagai lagi negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif K-Test Malaysia, Brandon Lee berkata, mereka memilih Malaysia kerana negara ini dilihat sebagai hab semikonduktor yang semakin kompetitif selain prospek pertumbuhannya juga kukuh.

Katanya, mereka akan menggajikan rakyat Malaysia dan menghantar mereka dalam kumpulan seramai enam orang untuk menjalani latihan di Korea Selatan.

“Apabila mereka pulang, kumpulan lain akan menjalani program sama dan pada masa sama, jurutera kami yang berpengalaman dari Korea akan ditempatkan di Malaysia untuk membimbing tenaga kerja tempatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Syarikat penguji semikonduktor Korea Selatan labur RM204 juta di Perak appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved