Syarikat-Syarikat Telekomunikasi Mula Membuka Pra-Tempahan Untuk Peranti Boleh-Lipat Samsung Terbaru

TechnologyDigital
10 Jul 2025 • 7:16 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Semalam, Samsung telah memperkenalkan tiga buah peranti boleh-lipat terbaru mereka: Samsung Galaxy Z Fold7, Samsung Galaxy Z Flip7 dan Samsung Galaxy Z Flip7 FE. Terkini, sejumlah syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan telah memulakan fasa pra-tempahan untuk peranti-peranti boleh-lipat terbaru ini.

CelcomDigi

Bermula dengan CelcomDigi, mereka telah mula membuka laman pra-tempahan untuk kedua-dua peranti Samsung Galaxy Z Fold7 dan Samsung Galaxy Z Flip7 bermula hari ini sehingga 31 Julai 2025. CelcomDigi mengatakan bahawa peranti-peranti ini akan mula dihantar kepada pelanggan bermula 24 Julai 2025. Ini bermakna bahawa terdapat peluang untuk pelanggan CelcomDigi menerima peranti Samsung Galaxy Z Fold7 dan Galaxy Z Flip7 mereka lebih awal daripada tarikh jualan rasmi 1 Ogos 2025.

image is not available

Bergantung kepada pelan langganan mereka, pelanggan CelcomDigi boleh mendapatkan peranti ini melalui program pembelian peranti Easy 360 yang menawarkan pelan langganan 24 bulan ataupun 36 bulan dengan harga bulanan serendah RM93 jika anda pelanggan CelcomDigi One Pro atau One Ultra.

image is not available

Untuk pelanggan CelcomDigi Postpaid 120 dan Postpaid 140, mereka juga akan menerima seutas jam tangan pintar Samsung Galaxy Watch8 secara percuma. Bagi pelanggan CelcomDigi Postpaid 160 dan keatas, mereka juga akan menerima fon telinga TWS Samsung Galaxy Buds3 Pro bersama-sama dengan jam tangan pintar tersebut.

image is not available

image is not available

Untuk pra-tempahan Samsung Galaxy Z Flip7 pula, mereka yang melanggan bersama pelan CelcomDigi Postpaid 5G 120 keatas akan menerima fon telinga Samsung Galaxy Buds3 Pro secara percuma.

Setiap pembelian salah satu peranti ini dengan pelan Easy 360 juga akan memberi anda langganan pelan PhoneCARE Swap & Replace secara percuma untuk dua bulan pertama. Anda boleh memilih untuk meneruskan langganan pelan tersebut selepas tempoh ini jika anda mahukan.

Jika anda mahu mengetahui lebih lanjut tentang butiran pelan pra-tempahan Samsung Galaxy Z Fold7 dan Samsung Galaxy Z Flip7 oleh CelcomDigi, mereka juga telah menyediakan laman FAQ khusus untuk pelan ini.

Maxis

Maxis juga telah membuka pra-tempahan untuk kedua-dua peranti Samsung Galaxy Z Fold7 dan Samsung Galaxy Z Flip7 dengan penawaran memori dan storan 12GB dan 512GB yang sama.

image is not available

Pengguna diberi tiga pilihan pelan langganan, dua melalui pelan peranti Maxis Zerolution, dan satu melalui kontrak 24 bulan dimana pelanggan akan perlu membuat pembayaran pendahuluan sebanyak RM6099 untuk Samsung Galaxy Z Fold7 dan kemudian membayar RM199 setiap bulan untuk 24 bulan akan datang.

image is not available

Dengan pelan Zerolution, tiada pembayaran pendahuluan yang perlu dibuat, dan pembayaran bulanan yang perlu dibuat untuk peranti-peranti ini ialah RM479 untuk 24 bulan dan RM384 untuk 36 bulan.

Bagi peranti Samsung Galaxy Z Flip7 pula, pembayaran pendahuluan untuk langganan kontrak 24 bulan ialah RM3499 dengan bayaran bulanan RM299 untuk 24 bulan. Dengan pelan Zerolution, bayaran untuk kontrak 24 bulan ialah sebanyak RM359 setiap bulan, dan untuk kontrak Zerolution 36 bulan, bayaran untuk setiap bulan ialah RM299.

image is not available

Untuk memanfaatkan pelan peranti Maxis Zerolution, pelanggan juga perlu melanggan pelan-pelan pascabayar Maxis bermula dengan Maxis Postpaid Share 48 sehinggalah Maxis Postpaid 199. Mereka yang pra-tempah peranti ini juga akan menerima pelan langganan Maxis Device Care Plus untuk dua tahun secara percuma.

image is not available

Harga yang dibayar oleh pelanggan pada hujung setiap bulan adalah gabungan harga pelan rangkaian telefon dan juga kontrak peranti.

U Mobile

U Mobile hadir dengan penawaran yang lebih unik berbanding CelcomDigi dan Maxis, dimana mereka menawarkan pilihan storan tambahan, dengan model 256GB dan 512GB untuk kedua-dua peranti Samsung Galaxy Z Fold7 dan Samsung Galaxy Z Flip7.

image is not available

Bergantung kepada pelan peranti yang dipilih, iaitu U SaveMore ataupun U PayLater, pelanggan boleh memilih untuk membayar dahulu kos peranti tersebut, dengan bayaran ansuran yang lebih murah, ataupun bayaran bulanan yang lebih mahal, tetapi tidak perlu membayar kos awal peranti.

image is not available

Sebagai contoh, jika anda memilih pelan data U Family 128 bersama-sama dengan pelan peranti U SaveMore dan peranti Samsung Galaxy Z Fold7 512GB, anda akan perlu membayar kos peranti sebanyak RM6307 sebagai pendahuluan, dan bayaran bulanan sebanyak RM128 untuk 24 bulan akan datang.

image is not available

Tetapi jika anda memilih pelan data bersama-sama peranti yang sama, dan memilih pelan pembayaran U PayLater, jumlah permulaan yang perlu dibayar hanya RM128, tetapi jumlah bulanan dilihat setinggi RM419 untuk 24 bulan.

image is not available

Dalam pada itu, U Mobile juga dilihat memperkenalkan pelan pra-tempahan istimewa dimana jika anda pra-tempah sebuah Samsung Galaxy Z Fold7 dengan gabungan pelan U Family 128 dan kontrak U PayLater, ada juga akan menerima peranti Samsung Galaxy Z Flip7 secara percuma dengan harga langganan RM361 sebulan untuk 36 bulan, dan pembayaran awal RM128.

Yes 5G

Yes 5G mengesahkan bahawa mereka akan membuka pra-tempahan untuk peranti-peranti Samsung Galaxy Z Fold7 dan Samsung Galaxy Z Flip7, tetapi ia hanya akan dibuka pada 15 Julai ini. Walaupun begitu, mereka telah memperlihatkan butiran tertentu seperti harga langganan peranti, bersama-sama langganan pelan data dan jangka-masa kontrak (24 bulan, 36 bulan) untuk

image is not available

Dengan pelan Standard

Untuk Samsung Galaxy Z Fold7, Yes memperlihatkan bahawa anda akan perlu melanggan sekurang-kurangnya pelan Infinite Standard 88 sehingga Infinite Ultra 178, dimana sama seperti U Mobile, mereka juga menawarkan peranti dengan dua pilihan storan, iaitu 256GB dan 512GB.

image is not available

Dengan pelan Infinite Standard 88, anda boleh pra-tempah peranti tersebut bersama-sama kontrak peranti 36 bulan pada harga RM155 sebulan jika anda memilih model 256GB. ataupun RM185 dengan peranti dengan storan 512GB.

image is not available

Untuk Samsung Galaxy Z Flip7 pula, pelanggan boleh mendapatkan peranti ini dengan pelan Infinite Basic 58 dan jika anda memilih model dengan storan 256GB, jumlah yang perlu dibayar setiap bulan untuk 36 bulan ialah RM100, manakala model 512GB pula berharga RM120 untuk tempoh yang sama.

image is not available

Apa yang tidak diketahui buat masa ini ialah samada Yes 5G akan menawarkan pembayaran pendahuluan rendah seperti yang diperlihatkan pada siri peranti Samsung Galaxy 25 pada awal tahun ini.

Jika anda tidak begitu berminat mahu mengikat diri anda dengan kontrak pelan-pelan syarikat telekomunikasi, Samsung Malaysia juga telah membuka pra-tempahan untuk kedua-dua peranti ini, malah dengan penawaran gabungan memori dan storan 16GB dan 1TB untuk Galaxy Z Fold7 yang tidak atau belum ditawarkan oleh mana-mana syarikat telekomunikasi setakat ini.