Syarikat teknologi Perancis, Dassault Systèmes buka pejabat baharu di Malaysia

LocalTechnology
21 Oct 2026 • 5:51 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Syarikat teknologi Perancis, Dassault Systèmes buka pejabat baharu di Malaysia Image from: Syarikat teknologi Perancis, Dassault Systèmes buka pejabat baharu di Malaysia liza21/10/2026 - 17:51 Dari kiri: Ketua Pegawai Kewangan Asia Pasifik Selatan Dassault Systèmes, Tan Pei Fen; Duta Perancis ke Malaysia, Marc Abensour; Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Naib Presiden Eksekutif Dassault Systèmes, Samson Khaou; dan Ketua Operasi Malaysia merangkap Pengarah Kanan Perkhidmatan DELMIA, Dassault Systèmes, Tai Yee Meng Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Okt – Dassault Systèmes memperluas operasinya di Malaysia menerusi pembukaan pejabat baharu di Bandar Utama, Selangor dengan tumpuan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) perindustrian dan teknologi Kembar Maya dalam sektor pembuatan.

 

Pembukaan pejabat berkenaan mencerminkan perkembangan operasi syarikat teknologi dari Perancis itu sepanjang lebih 20 tahun di Malaysia, daripada lima pekerja pada peringkat awal kepada kapasiti tenaga kerja seramai 440 orang ketika ini.

 

Pejabat seluas 51,000 kaki persegi yang merangkumi dua tingkat itu turut menempatkan DELMIA Hub yang membangunkan, menyampaikan dan memberikan sokongan kepada pelanggan Dassault Systèmes di seluruh dunia menerusi penyelesaian perancangan dan penjadualan lanjutan.

 

Pejabat yang telah diubah suai itu dirasmikan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo dengan kehadiran Duta Perancis ke Malaysia, Marc Abensour.

 

Pusat teknologi dan perkhidmatan global

Pejabat baharu itu berfungsi sebagai pusat teknologi dan penyampaian perkhidmatan serantau serta global, selain menempatkan pasukan yang mengendalikan perkhidmatan berkongsi dalam bidang kewangan dan pemasaran digital.

 

Menurut syarikat itu, penempatan pejabat di Selangor membolehkan pasukannya berada lebih dekat dengan tenaga mahir, pemain industri dan agensi kerajaan di Lembah Klang, sekali gus menyokong kerjasama dengan peneraju industri di seluruh dunia.

 

Sepanjang dua dekad lalu, Dassault Systèmes menyokong transformasi digital sektor pembuatan Malaysia, termasuk industri elektrik dan elektronik (E&E), automotif serta aeroangkasa, melalui kerjasama dengan agensi kerajaan, institusi pendidikan dan peneraju inovasi industri.

 

Usaha berkenaan bertujuan membantu industri tempatan meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai serta membangunkan bakat digital bagi memenuhi keperluan sektor pembuatan yang semakin berteraskan teknologi.

 

AI perindustrian dan Kembar Maya untuk pengeluar tempatan

Pejabat baharu itu akan menyokong pengeluar di Malaysia, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dalam penggunaan AI perindustrian dan teknologi Kembar Maya.

 

Teknologi Kembar Maya membolehkan syarikat mereka bentuk, menjalankan simulasi dan menguji produk secara digital sebelum menghasilkan produk fizikal. Pendekatan itu membolehkan pengeluar membuat keputusan berdasarkan data kejuruteraan serta kepakaran industri masing-masing, berbanding bergantung sepenuhnya pada alat umum.

 

Antara manfaat yang disasarkan termasuk meningkatkan kemampanan logistik, memperbaiki ketahanan produk dan mengurangkan pembaziran. Gabungan Kembar Maya dengan AI perindustrian juga boleh membantu mengurangkan kos pembangunan prototaip serta mempercepatkan tempoh membawa produk ke pasaran.

 

Sokong aspirasi Malaysia sebagai hab AI serantau

Sementara itu Gobind berkata, teknologi digital bukan sekadar melibatkan aplikasi mudah alih dan perkhidmatan dalam talian, malah turut memainkan peranan dalam operasi kilang, industri automotif dan pembuatan termaju.

 

“AI Perindustrian dan teknologi Kembar Maya penting untuk mempercepat usaha Malaysia menjadi hab AI serantau. Kehadiran Dassault Systèmes yang semakin kukuh di Malaysia akan membantu industri tempatan, khususnya PKS, menggunakan penyelesaian digital terkini, berinovasi dengan lebih pantas dan bersaing di peringkat global,” katanya.

 

Naib Presiden Eksekutif Asia Pasifik Dassault Systèmes, Samson Khaou pula berkata, Malaysia mempunyai peluang besar untuk meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai pembuatan dengan memanfaatkan AI perindustrian.

 

Beliau berkata, penggabungan teknologi Kembar Maya dengan pengetahuan dan kepakaran jurutera serta pakar industri membolehkan pengeluar menterjemahkan kepakaran mereka kepada hasil praktikal, termasuk meningkatkan mutu produk, kecekapan operasi dan kemampanan.

 

“Kami berbangga dapat memperkukuh kehadiran di Malaysia, dan pejabat baharu ini menandakan permulaan perjalanan tersebut,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved