Syarikat Telekomunikasi Bakal Laksana Integrasi MyDigital ID Bermula 1 Disember

LocalTechnology
30 Nov 2025 • 12:23 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Syarikat Telekomunikasi Bakal Laksana Integrasi MyDigital ID Bermula 1 Disember

Malaysia bakal melangkah ke fasa baharu keselamatan digital apabila semua syarikat telekomunikasi negara mula melaksanakan integrasi teknologi pengesahan identiti MyDigital ID dalam aplikasi mudah alih masing-masing bermula 1 Disember.

Menerusi kenyataan MyDigital ID di Facebook, langkah ini dijangka meningkatkan perlindungan pengguna daripada panggilan scam, penyamaran identiti dan penipuan yang sering berlaku melalui penggunaan nombor SIM yang tidak disahkan atau disalahgunakan.

Selain itu, ia turut memastikan setiap nombor telefon mudah alih dipadankan dengan identiti pemilik yang sah dan dipercayai.

Dengan sokongan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan penyelarasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pelaksanaan ini merangkumi tiga komponen utama:

  • Pengesahan Nombor Prabayar Sedia Ada (Whitelisting) 

Pengguna boleh menyemak semua nombor prabayar yang berdaftar di bawah nombor MyKad mereka bagi mengesahkan bahawa nombor-nombor tersebut benar-benar milik pengguna.

Langkah ini dilihat mampu menghalang penyalahgunaan nombor yang didaftarkan menggunakan identiti dicuri atau tanpa pengetahuan pemilik.

  • Pendaftaran Kad Sim Baru

Semua kad SIM prabayar baharu kini perlu disahkan melalui aplikasi syarikat telekomunikasi menggunakan MyDigital ID. Ini memastikan nombor baharu tidak boleh diaktifkan menggunakan maklumat identiti milik orang lain.

  • Log Masuk MyDigital ID ke Aplikasi Syarikat Telekomunikasi

Pengguna diberi pilihan untuk log masuk menggunakan MyDigital ID sebagai kaedah lebih selamat untuk mengurangkan risiko pengambilalihan akaun, phishing dan akses tanpa kebenaran.

“Untuk maklumat lanjut mengenai cara penggunaan MyDigital ID mengikut syarikat telekomunikasi masing-masing, pengguna dinasihatkan untuk merujuk dan melayari laman web penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang dilanggan,” ujar kenyataan lagi.