Syarikat telekomunikasi tawar harga kompetitif bagi perkhidmatan jalur lebar kekalkan pelanggan, kata Kenanga

LocalTechnology
15 Oct 2025 • 9:25 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Syarikat telekomunikasi tawar harga kompetitif bagi perkhidmatan jalur lebar kekalkan pelanggan, kata Kenanga

image is not available

15/10/2025 - 09:25

Gambar: Freepik Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMMPUR 15 Okt - Pengendali rangkaian mudah alih (MNO) kini menawarkan diskaun dan harga yang lebih kompetitif untuk perkhidmatan jalur lebar tetap di rumah berbanding pelan pascabayar bagi mengekalkan pelanggan dan pendapatan, menurut Kenanga Research.

Katanya, purata hasil setiap pengguna (ARPU) bagi prabayar dilihat berada paras terendah, manakala pertambahan pelanggan dijangka kekal lemah dengan turun naik yang didorong persaingan berterusan.

Firma penyelidikan itu menjangkakan momentum pertambahan pelanggan pascabayar akan berterusan pada suku keempat tahun 2025 (4Q25) apabila MNO menggalakkan penggunaan melalui penawaran konvergens bernilai tinggi yang bertujuan meningkatkan kesetiaan pelanggan pascabayar.

"Kami mengekalkan penarafan “neutral” terhadap sektor telekomunikasi berikutan ketidaktentuan yang berterusan mengenai rangka kerja Rangkaian Dwi 5G (5GDN).

"Namun, pembiayaan pemegang saham Digital Nasional Berhad (DNB) pada Ogos lalu menandakan kemajuan yang boleh membuka jalan kepada pemuktamadan 5GDN," katanya dalam satu nota kajian.

Kenanga Research berkata, hasil daripada penstrukturan semula DNB yang dimulakan pada Februari dijangka dapat memperkukuh kedudukannya untuk diambil alih oleh pemegang saham MNO yang masih kekal.

Katanya, pelancaran 5G oleh U Mobile Sdn Bhd pada Ogos merupakan langkah awal memuktamadkan pelan pelaksanaan bagi rangkaian 5G kedua.

Perkembangan itumemberi petanda positif kepada syarikat pilihan utama mereka bagi NW2, iaitu OCK Group Berhad yang kini berada dalam rundingan lanjut dengan vendor teknologi untuk potensi kerjasama dalam pelaksanaan infrastruktur 5G dengan nilai kontrak berpotensi melebihi RM500 juta.

Namun, momentum pelancaran dijangka kekal perlahan memandangkan tumpuan awal NW2 adalah untuk liputan dalam bangunan yang biasanya tertangguh akibat keperluan permit dan waktu kerja yang terhad.

Bagi pemain talian tetap, Kenanga Research menjangkakan peningkatan permintaan terhadap sambungan antarabangsa dan daratan.

Katanya, hal itu disebabkan pusat data berskala besar dan wilayah awan di Malaysia memerlukan sambungan kepada titik pertukaran Internet (IXP), kabel dasar laut serta ekosistem digital global dengan TIME Dotcom Bhd menjadi pilihan utama.

Firma penyelidikan itu berkata, Telekom Malaysia Bhd (TM) dijangka mula mengiktiraf hasil daripada kontrak gentian optik bernilai RM2.4 bilion dengan U Mobile menjelang akhir tahun kewangan 2025, walaupun pelaksanaan sebenar bergantung kepada jadual pelancaran NW2.

Menurut firma itu lagi, U Mobile mungkin akan menganugerahkan kontrak backhaul bagi baki 30% tapak 5G yang tidak diliputi oleh TM kepada TIME.

Firma penyelidikan tersebut turut menjangkakan syarikat kejuruteraan seperti Redtone Digital Bhd, Hextar Capital Bhd dan Theta Edge Bhd akan terlibat dalam kerja-kerja kontrak rangkaian.- DagangNews.com

standard