liza22/10/2026 - 12:51 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Okt – Syarikat Jepun, Tanaka Precious Metal Technologies Co Ltd bekerjasama dengan MEP Enviro Technology Sdn Bhd dari Malaysia untuk membangunkan kilang kitar semula dan penapisan logam berharga di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang, yang dijadualkan mula beroperasi pada April 2029.
Kemudahan itu akan dikendalikan oleh syarikat usaha sama baharu iaitu Tanaka MEP Refinery Sdn Bhd yang akan memberi tumpuan kepada pemulihan logam berharga daripada bahan yang dikumpulkan dan diproses terlebih dahulu oleh MEP.
Tanaka akan memegang 66.7% kepentingan dalam syarikat usaha sama itu manakala baki 33.3% dimiliki MEP.
Tanaka dalam satu kenyataan berkata aktiviti perniagaan syarikat baharu itu merangkumi analisis bahan yang diperoleh semula, penapisan logam berharga sehingga mencapai ketulenan 99.99%, serta pembuatan, pengimportan, pengeksportan dan penjualan produk logam berharga.
Permintaan kitar semula logam berharga meningkat
“Penubuhan kemudahan itu menyusul peningkatan permintaan terhadap pemulihan dan kitar semula bahan buangan yang mengandungi logam berharga, susulan pertumbuhan industri semikonduktor, komponen elektronik dan sektor pembuatan lain di Malaysia serta rantau ASEAN.
“Pada masa sama, peraturan alam sekitar yang semakin ketat dan perhatian terhadap penggunaan sumber secara kitaran meningkatkan keperluan untuk memproses serta mengitar semula sisa dengan lebih teratur di negara atau rantau tempat bahan itu dihasilkan.
“Sisa peralatan elektronik yang telah mencapai akhir tempoh penggunaannya, atau sisa elektronik (e-waste), turut memerlukan pengurusan dan pemprosesan yang sewajarnya bagi membolehkan sumber bernilai diperoleh semula untuk kegunaan seterusnya,” kata Tanaka.
Tanaka berkata syarikat global juga semakin giat melaksanakan inisiatif ekonomi kitaran, sekali gus meningkatkan kepentingan pemulihan dan penggunaan semula sumber yang mengandungi logam berharga.
Fokus pengeluaran emas tulen 99.99%
Pada peringkat awal operasi, Tanaka MEP Refinery merancang menghasilkan emas dengan ketulenan 99.99%, atau emas 4N, serta kalium emas sianida (potassium gold cyanide atau PGC) untuk industri elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor.
Selain penapisan, syarikat itu turut menjalankan aktiviti perdagangan, penyewaan dan penyimpanan jongkong logam berharga.
Kemudahan berkenaan akan menggabungkan pengalaman Tanaka dalam penapisan dan pemprosesan logam berharga dengan kepakarannya dalam kawalan kualiti, pengurusan pengeluaran serta bidang berkaitan, bagi mewujudkan rangkaian pemulihan dan penapisan logam berharga yang bersepadu di Malaysia.
Tanaka dan MEP sebelum ini memeterai perjanjian bantuan teknikal bagi pemulihan logam berharga pada Ogos 2024 dan sejak itu bekerjasama untuk memajukan aktiviti kitar semula logam berharga di Malaysia.
Perluas rangkaian kitar semula ASEAN
Tanaka berkata penubuhan syarikat usaha sama itu akan memperluas operasi kitar semula logam berharga kumpulan berkenaan di rantau ASEAN.
Syarikat itu sebelum ini membangunkan rangkaian kitar semula logam berharga global dengan kemudahan pemulihan dan penapisan di Jepun, Eropah, Amerika Utara, China, Taiwan serta beberapa rantau lain.
Inisiatif berkenaan bertujuan menggunakan sumber logam berharga yang terhad dengan lebih berkesan, selain menyokong ekonomi kitaran dan memastikan bekalan logam berharga yang stabil.- DagangNews.com





