liza22/10/2026 - 10:04 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Okt – Pelaburan industri semikonduktor India bernilai AS$17.4 bilion membuka peluang kepada syarikat Malaysia untuk menyertai pembangunan kilang cip, pembekalan peralatan dan automasi dengan Kelington Group Bhd dikenal pasti sebagai penerima manfaat paling utama, kata AmInvest.
India telah meluluskan 12 projek pembuatan semikonduktor di enam negeri, termasuk projek oleh Tata Electronics, Micron dan CG Power ketika negara itu mempercepatkan usaha membangunkan keupayaan pengeluaran cip domestiknya.
AmInvest berkata pasaran semikonduktor India dianggarkan bernilai AS$45 bilion hingga AS$50 bilion pada 2024 hingga 2025 dan dijangka meningkat kepada AS$100 bilion hingga AS$110 bilion menjelang 2030.
Usaha itu disokong program Semicon 2.0 yang diluluskan pada Julai 2026 dengan peruntukan ₹1.275 trilion (AS$13.5 bilion) bagi pembangunan kilang fabrikasi cip, peralatan, bahan, perkhidmatan pemasangan dan pengujian cip (OSAT), penyelidikan dan pembangunan serta tenaga kerja mahir.
Firma penyelidikan itu berkata Malaysia mempunyai pengalaman kira-kira 50 tahun dalam industri semikonduktor dan menyumbang sekitar 13% daripada aktiviti OSAT global. Kepakaran tempatan dalam kejuruteraan tepat, sistem pengujian, automasi dan pembuatan elektronik meletakkan syarikat Malaysia pada kedudukan untuk menyokong perkembangan industri India.
Kelington sudah memperoleh kontrak RM1.8 bilion
Kelington menjadi penerima manfaat paling jelas selepas memperoleh kontrak bernilai AS$452 juta (RM1.8 bilion) bagi kemudahan kilang fabrikasi wafer di Gujarat.
Anak syarikatnya, Kelington Engineering Pte Ltd, turut dilantik oleh Tata Electronics untuk menyediakan sistem pengagihan gas berketulenan ultra tinggi, paip berketulenan tinggi dan penyambungan peralatan proses bagi projek kilang cip Dholera.
AmInvest berkata India kini menyumbang lebih 50% daripada jumlah buku tempaham Kelington dianggarkan berjumlah RM2.397 bilion, meningkat daripada RM567 juta pada suku kedua 2026.
ViTrox, Greatech dan Pentamaster turut berpeluang
ViTrox Corporation Bhd berpeluang meningkatkan jualan peralatan pemeriksaan cip apabila kemudahan OSAT India beralih daripada pengeluaran awal kepada pembuatan berskala besar.
India menyumbang kira-kira 5% daripada hasil ViTrox pada 2025, namun jualannya kepada pelanggan elektronik dan semikonduktor India meningkat 10 kali ganda sejak 2020.
Selain itu, AmInvest berkata Pentamaster Corporation Bhd, Greatech Technology Bhd dan QES Group Bhd turut dikenal pasti sebagai syarikat yang boleh mendapat manfaat melalui kepakaran dalam pengujian, pemeriksaan, pengendalian bahan dan automasi.
OSAT buka peluang lebih awal
Kemudahan OSAT boleh dibangunkan dalam tempoh 12 hingga 18 bulan, lebih singkat berbanding tiga hingga lima tahun bagi pembinaan kilang fabrikasi cip bahagian hadapan. Keadaan itu membolehkan kapasiti pemasangan dan pengujian cip berkembang lebih awal.
“Apabila kilang India meningkatkan pengeluaran, permintaan terhadap sistem pemeriksaan optik automatik, pengendali wafer dan peralatan pengujian automatik dijangka menyediakan peluang seterusnya kepada pengeluar peralatan Malaysia untuk menyertai rantaian bekalan semikonduktor negara itu,” katanya. - DagangNews.com






